suria

FMLLP Ubah Peraturan Perpindahan Pemain

PETALING JAYA: Berita gembira menanti pemain asing yang beraksi dalam Liga Malaysia pada musim ini apabila Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) membuat perubahan besar dalam peraturan jendela perpindahan pemain, sekali gus menyaksikan nasib pemain import lebih terjamin dan dibela.

FMLLP menerusi kenyataan rasmi dalam laman Facebook rasmi Football Malaysia LLP, berkata, sebelum ini pemain asing tidak dibenarkan berpindah ke pasukan lain ketika pintu perpindahan dibuka.

Jelas kenyataan tersebut, peraturan itu telah wujud sebelum FMLLP yang menguruskan Liga Malaysia, ditubuhkan dan ia masih diamalkan sehingga kini walaupun terdapat banyak permintaan daripada pasukan agar ia diubah.

Malah FMLLP berkata, rekod terdahulu menunjukkan Liga Malaysia mempunyai jumlah yang sangat tinggi melibatkan isu penamatan kontrak pemain asing yang secara jelas menyalahi undang-undang dan kes tersebut telah dirujuk kepada FIFA.

"Berdasarkan trend dalam Liga Malaysia, pasukan gemar menamatkan kontrak pemain asing ketika pintu perpindahan kedua dibuka dan susulan itu FMLLP telah memutuskan untuk membenarkan pemain asing berpindah ke pasukan lain dalam Liga Malaysia.

"Langkah ini membolehkan pemain asing yang ditamatkan kontrak, dapat bertukar atau berpindah ke pasukan lain seterusnya mengelakkan pemain terbabit terkilan meninggalkan Malaysia kerana ditamatkan kontrak serta tiada pilihan lain yang tersedia untuk mereka," tambah FMLLP.

Susulan perubahan peraturan tersebut, FMLLP turut menyuarakan harapan agar langkah berkenaan membolehkan pasukan yang bertanding mempunyai banyak pilihan dan menggalakkan pasukan untuk berunding sesama mereka seterusnya memperolehi faedah bersama melalui inisiatif ini.

Tambah FMLLP, setiap pasukan perlu memanfaatkan peluang itu dengan melaksanakan perancangan strategik dan menguruskan perpindahan pemain secara profesional.

"Liga Malaysia sangat terkenal terkenal untuk tempoh cukup lama untuk isu ini (penamatan kontrak pemain asing) dan FMLLP telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan perkara ini tidak terus berulang.

"Dengan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FMLLP, peraturan ini berkuatkuasa serta merta dan akan dikemaskini di dalam Manual Liga Malaysia akan datang," jelas FMLLP.

FMLLP, Liga Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain