suria

Di Sebalik Kekalahan Kedah Dan Pengajaran

KEKALAHAN 5-0 skuad hijau kuning kepada T-Team pada Sabtu lalu ternyata memberi kesan kepada Kedah selepas ia turut mengakhiri rekod tanpa kalah sejak awal musim lalu.

Namun bagi Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe, disebalik kekalahan berkenaan skuadnya turut diuji dengan beberapa kekurangan seperti kehilangan dua tonggak utama iaitu Liridon Krasniqi dan Ilso Larsen selain situasi kesihatan Sandro Da Silva.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, Rizal Ghazali pula dibuang padang sehingga membuka peluang kepada lawan untuk mengutip tiga mata penuh dalam saingan Lida Super berkenaan.

Bagaimanapun Cheng Hoe memberitahu, perlawanan itu telah berlalu dan apa yang penting kini ialah pemain perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku.

Jelasnya, pemain Kedah kini perlu bangkit semula kerana peluang untuk meraih kejayaan belum lagi tertutup.

"Apa yang berlaku memang mengecewakan semua, termasuk pemain. Tapi semuanya sudah pun berlalu. Pemain perlu menjadikan ia sebagai pengajaran untuk perlawanan seterusnya.

"Saya harap kekalahan itu akan membuatkan pemain lebih kuat dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi saingan Piala FA di Ipoh pada Jumaat ini," katanya kepada mStar Online.

Bercerita lanjut, Cheng Hoe berkata, Sandro tidak dapat beraksi dengan baik kerana demam panas, sehari sebelum perlawanan tersebut sehingga memberi kesan terhadap aksinya.

Menurutnya, bagaimanapun pemain kelahiran Brazil itu masih berusaha memberikan yang terbaik buat Kedah.

"Saya harap pemain tidak lagi berfikir mengenai kekalahan itu dan memberi perhatian terhadap saingan Piala FA pada minggu ini.

"Mereka perlu bangkit dan menunjukkan kemampuan sebenar dengan membawa pulang kejayaan dari Ipoh pada Jumaat ini," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain