suria

Selamat Tinggal Ali, Cruyff - 2017

TERLALU banyak yang boleh diperkatakan tentang perjalanan dunia sukan sepanjang tahun 2016 dengan berlangsungnya beberapa kejohanan besar seperti Euro 2016, Copa America 2016, Olimpik Rio dan beberapa kejohanan lain.

Pastinya setiap kejohanan disulami dengan elemen kejutan, kontroversi, skandal, tragedi dan drama yang sudah menjadi lumrah dalam dunia sukan.

Namun seperti tahun-tahun kebiasaannya, sukan paling popular di dunia iaitu bola sepak paling banyak mewarnai tahun 2016 dengan pelbagai kisah suka dan duka untuk dikenang.


BOLA SEPAK

Tahun 2016 banyak menyaksikan kejutan dalam dunia bola sepak terutamanya dalam liga paling popular di dunia, Liga Perdana Inggeris dan kejohanan Eropah, Euro 2016 yang berlangsung di Perancis.

Leicester City sebagai contohnya memecah dominasi empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris yang dikuasai kelab besar seperti Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Manchester City dalam tempoh dua dekad ini apabila muncul juara liga buat kali pertama sejak kelab itu ditubuhkan pada tahun 1884 iaitu kira-kira 132 tahun yang lalu.

Kelab "The Foxes" itu dinobatkan sebagai juara pada 2 Mei 2016 selepas pencabar terdekatnya ketika itu, Tottenham Hotspurs gagal menewaskan Chelsea untuk mencabar kejuaraan.


Selang sebulan kemudian, Portugal pula menjadi sebutan di bibir peminat bola sepak seluruh dunia apabila bergelar juara kejohanan Euro 2016 walaupun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan.

Sama seperti Leicester City, Portugal melakar kejayaan itu buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara tersebut.

Di sebalik kejayaan Portugal, ramai peminat turut membincangkan tentang kisah ajaib pasukan kerdil, Iceland yang pertama kali menyertai Euro.


Iceland yang hanya didiami kira-kira 300,000 penduduk, mengejutkan ramai pihak apabila melepasi peringkat kumpulan dan melayakkan diri ke suku akhir apabila menewaskan pasukan gergasi England di peringkat kalah mati.

Berakhirnya Euro 2016, seluruh dunia tertumpu pada jendela perpindahan pemain antara kelab terkemuka bagi menghadapi musim baharu.


Perpindahan paling mencuri tumpuan semestinya pemain tengah Juventus dan Perancis, Paul Pogba ke kelab lamanya, Manchester United untuk menjadi pemain paling mahal di dunia dengan nilai 89 juta pound (RM447 juta).

Selain itu, kehadiran tiga pengurus ternama iaitu Pep Guardiola, Jose Mourinho dan Antonio Conte ke kancah Liga Perdana Inggeris ternyata membuatkan peminat dan penyokong setia berdebar untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang lebih hebat.


Berbeza pula kisahnya di China apabila Liga Super China (CSL) mengalami revolusi baharu dunia bola sepak di Asia apabila kelab-kelab ternama di negara itu mula memancing nama-nama besar dari Eropah dan Amerika Latin untuk menaikkan taraf liga tempatan.


Antara pemain bintang yang berjaya dipancing setakat ini termasuk Asamoah Gyan yang pernah beraksi untuk Sunderland, Demba Ba (Chelsea), Tim Cahill (Everton), Oscar (Chelsea) dan paling terbaharu Carlos Tevez yang bakal menjadi pemain bergaji paling mahal di dunia dengan bayaran 615,000 juta pound seminggu (RM3.13 juta).


SKANDAL

Dunia sukan antarabangsa tidak pernah sunyi daripada kontroversi dan tahun ini, Sam Allardyce adalah "watak utama" apabila terlibat dalam skandal penyalahgunaan kuasa ketika mengemudi pasukan England dalam tempoh 67 hari sahaja bergelar sebagai jurulatih.

Skandal Allardyce itu didedahkan oleh wartawan portal The Daily Telegraph yang menyamar sebagai ahli perniagaan untuk melabur dalam pasaran perpindahan pemain Liga Perdana Inggeris dan jurulatih tersebut mendedahkan "jalan belakang" untuk melakukannya dengan keuntungan yang amat besar.

Senasib dengan Allardyce adalah bintang Argentina dan Barcelona, Lionel Messi yang terpalit dengan isu mengelak cukai apabila pemain berusia 30 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama 21 tahun di Sepanyol tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan atas sebab tertentu yang diperintahkan oleh mahkamah.


Bukan setakat itu, Messi juga mencetuskan panik dalam kalangan penyokong Argentina apabila mengambil keputusan untuk bersara dari skuad kebangsaan atas kegagalan memenangi Copa America 2016.

Namun dia menarik balik keputusan itu dan terus beraksi bersama Argentina bagi menghadapi Piala Dunia 2018 di Rusia.

Selain dunia bola sepak, isu doping juga menjadi perhatian apabila melibatkan negara kuasa besar dalam sukan Olimpik iaitu Rusia dan atlet jelita dari negara sama, Maria Sharapova.

Skandal doping Rusia bermula sejak awal 2016 tetapi kemuncaknya pada temasya Olimpik di Rio apabila 111 atlet negara itu tidak dibenarkan bertanding kerana didapati menggunakan bahan terlarang.


Rusia bagaimanapun menyifatkan tindakan agensi anti doping antarabangsa itu sebagai bermotifkan anti-Moscow.

Pemain tenis Rusia dan bekas juara nombor satu dunia, Sharapova juga diselubungi isu sama apabila gagal dalam ujian doping ketika menyertai Terbuka Australia 2016.

Walaupun pada mulanya, pemain berusia 29 tahun itu cuba menafikan, tetapi akhirnya dia mengaku mengambil bahan terlarang dan dikenakan hukuman penggantungan selama 15 bulan bermula Oktober.


LEGENDA DAN TRAGEDI

Setiap tahun pasti akan ada peristiwa pahit untuk diingati bagi peminat sukan dan begitu juga tahun ini.

Pada 24 Mac, peminat bola sepak di seluruh dunia dikejutkan dengan berita kematian legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff pada usia 68 tahun akibat kanser.


Tiga bulan kemudian, dunia sekali lagi menerima berita duka dengan pemergian legenda tinju dunia, Muhammad Ali pada 3 Jun ketika beliau berusia 74 tahun.

Ali bukan sahaja terkenal sebagai atlet luar biasa tetapi sebagai aktivis yang memperjuangan hak masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat.


Pastinya ungkapan popular beliau iaitu “Terapung seperti rama-rama, menyengat seperti lebah," tidak akan lapuk ditelan zaman.

Seorang lagi legenda, Arnold Palmer juga meninggalkan peminat dunia golf selepas mendiang merupakan pemain yang bertanggungjawab mempopularkan sukan elit tersebut.

Palmer yang digelar sebagai "The King" meninggal dunia pada usia 87 tahun ketika sedang menunggu rawatan untuk pembedahan jantung di Pusat Perubatan Universiti Pittsburg pada 25 September.


Tanggal 28 November merupakan detik hitam buat peminat bola sepak dunia apabila digemparkan dengan nahas udara yang mengorbankan hampir seluruh pasukan kelab bola sepak Brazil, Chapecoense.

Lebih menyedihkan, pasukan tersebut dalam penerbangan menuju ke Colombia untuk menyertai perlawanan akhir pertama menentang kelab tempatan,  Atlético Nacional dalam saingan Piala Copa Sudamericana di Medellin.


Hanya tiga pemain kelab itu terselamat dalam tragedi tersebut dan lebih mengharukan, pasukan lawan menghadiahkan kemenangan percuma kepada kelab Chapecoense sebagai penghormatan terhadap mangsa yang terbunuh.

Tragedi itu mendapat perhatian seluruh dunia termasuk pemain legenda Brazil, Ronaldinho dan beberapa pemain bintang lain yang menyertai kelab berkenaan secara percuma sebagai tanda sokongan kelab itu.


LAIN-LAIN

Selepas enam tahun dibayangi kehebatan Eropah, Amerika Syarikat akhirnya berjaya menamatkan dominasi benua tersebut dalam acara golf berpasukan, Piala Ryder menerusi kemenangan besar 16.5-11.5 pada 21 September.

Lebih manis lagi, kemenangan itu dicatat di hadapan penyokong sendiri dan merupakan kejayaan terbesar serta paling manis buat bintang golf Amerika ke atas Eropah dalam sejarah 27 tahun kejohanan antara benua itu.


Hanya lima hari dinobatkan sebagai juara dunia Formula Satu 2016, Nico Rosberg membuat kejutan pada 2 Disember untuk bersara dari dunia perlumbaan pada usia 31 tahun.

Pelumba kelahiran Jerman itu menganggap keputusannya tepat untuk bersara ketika berada di puncak dan merealisasikan impiannya sejak usia enam tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain