suria

Dhabitah Gemuruh Hadapi SPM

Nur Dhabitah Sabri.

PETALING JAYA: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri akui gemuruh untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada Isnin memandangkan dia cuma mempunyai masa selama dua bulan untuk mengulang kaji pelajaran.

"Tidak dinafikan perasaan sekarang bercampur-baur, gemuruh dan tertekan kerana saya terpaksa catch up banyak perkara selepas tertinggal pelajaran selama lapan bulan.

"Namun saya terpaksa kuatkan semangat dan lupakan sementara sesi latihan kerana enggan menangguhkan peperiksaan ini. Bidang akademik turut penting bagi saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dhabitah antara 434, 535 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2016 yang bermula dengan kertas Bahasa Melayu pada Isnin.

Atlet berusia 17 tahun itu sebelum ini terpaksa melupakan seketika pelajarannya selama lapan bulan kerana menjalani latihan di China untuk mempersiapkan diri bagi Sukan Olimpik Rio.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata, sepanjang tempoh dua bulan itu dia banyak mengulangi kaji pelajaran secara berkumpulan.

"Saya jenis yang tak suka ulang kaji pelajaran seorang diri, jadi saya banyak belajar berkumpulan untuk memudahkan proses tersebut.

"Kebiasaannya saya habiskan tempoh enam jam sehari untuk ulang kaji pelajaran dan kadang kala terpaksa berjaga hingga lewat malam," katanya.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu akan mengambil lapan mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik, Sains Islam, Tassawur Islam dan Pendidikan Islam.

Ketika ditanya mengenai sasarannya dalam peperiksaan itu, Dhabitah berkata, beliau enggan meletakkan harapan yang terlalu tinggi tetapi mahu cemerlang dalam semua mata pelajaran.

"Saya tak tetapkan sasaran tertentu kerana takut nanti saya akan kecewa jika sebaliknya berlaku. Saya hanya harap dapat buat yang terbaik dalam semua mata pelajaran," katanya.

Sementara itu, Dhabitah turut mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu dan menaikkan semangatnya untuk menghadapi peperiksaan itu.

"Tanpa mereka saya tidak akan secekal ini. Minta semua doakan yang terbaik untuk saya," katanya.

Dhabitah yang sering kali tampak ceria setiap kali memulakan terjunannya, menamatkan saingan acara akhir terjun perseorangan wanita 10m platform Sukan Olimpik Rio pada Ogos lalu di tempat ke sembilan.

Selepas selesai kertas akhir Sains Sukan pada 7 Disember ini, Dhabitah berkata dia akan kembali menjalani latihannya untuk menghadapi kejohanan pada tahun hadapan.

"Selepas habis peperiksaan ini, saya berasa lega kerana satu tanggungjawab besar sudah saya selesaikan. Lepas itu saya boleh fokus sepenuhnya pada komitmen untuk latihan," katanya.





Nur Dhabitah Sabri, atlet terjun

Artikel Lain