suria

Piala Malaysia: Pertahanan Kedah Laungkan Amaran

Rizal Ghazali (kiri)

PEMAIN pertahanan Kedah melaungkan amaran untuk menebus kekecewaan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dalam pertembungan di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.

Rizal Ghazali berkata, perlawanan akhir menentang Selangor itu merupakan peluang terbaik untuk Kedah merampas  piala tersebut yang gagal dibawa pulang ke Alor Setar tahun lalu.

Pemain pertahanan yang pantas dan ampuh itu merupakan anak kelahiran Baling dan memulakan kariernya bersama pasukan Perlis selama tiga tahun sebelum berhijrah ke Kedah pada 2014 selepas aksinya menarik perhatian Penolong Pengurus Kedah ketika itu, Amirul Nidzam Mahadzir.

Meskipun kehadirannya sebagai pemain sayap, namun khidmatnya lebih diperlukan sebagai pemain pertahanan kanan oleh Tan Cheng Hoe.

Keputusan ketua jurulatih Kedah itu untuk menukar posisi Rizal ternyata satu keputusan tepat apabila pemain berkenaan berjaya membantu skuad hijau kuning mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak dua kali.

Kecemerlangan Rizal pada musim ini turut menarik minat pengendali skuad kebangsaan, Ong Kim Swee untuk menamakannya sebagai tonggak utama negara.

Rizal memberitahu, dia bukan sahaja gembira kerana dapat mewakili negeri kelahirannya tetapi turut teruja jika diberi peluang dapat beraksi di final Piala Malaysia sebanyak dua kali dan membantu Kedah menjuarai Liga Perdana.

"Saya puas hati dapat beraksi bersama Kedah kerana rata-rata barisan pemain kita terdiri daripada pemain muda selain pemain import terbaik seperti Liridon Krasniqi, Bang Seung Hwan, Thiago Augusto dan Shane Smeltz.

"Untuk perlawanan akhir pula, kami tahu Selangor bukan sebuah pasukan yang mudah ditewaskan tetapi saya yakin barisan pemain yang dimiliki Kedah mampu untuk membawa kita sebagai juara," katanya kepada mStar Online.

Rizal menambah, Kedah juga akan diperkuatkan oleh pemain ke-12 yang merupakan penyokongnya dan kehadiran mereka akan menyuntik semangat pemain.

"Sokongan daripada penyokong Kedah juga antara kekuatan pasukan ini dan kami harap dapat memenangi perlawanan ini untuk mereka," jelasnya

Kedah, Selangor, Piala Malaysia

Artikel Lain