suria

Marquez Lakukan Catatan Terpantas

SEPANG: Juara MotoGP dunia, Marc Marquez dari Repsol Honda memberi amaran awal apabila mencatat masa terpantas sewaktu sesi latihan bebas di Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, di sini pada Jumaat.

Pelumba Sepanyol berusia 23 tahun itu mencatat 2 minit 01.210 saat sewaktu sesi pertama sebelum memutuskan tidak menjalani sesi kedua pada sebelah petang akibat masalah gastrik yang dialaminya sejak dua hari lepas.

Catatan Marquez itu adalah 0.798s lebih perlahan daripada catatan terbaik yang dilakukan tahun lepas oleh rakan sepasukannya, Dani Pedrosa yang tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan ini akibat patah tulang selangka.

Rakan senegaranya, Maverick Vinales dari Team Suzuki Ecstar mencatat masa kedua terpantas dengan 2:01.478s manakala pelumba Octo Pramac Yakhnich, Scott Redding dari Britain, ketiga dengan 2:01.507s.

Marquez berkata beliau gembira dengan catatannya dan mahu memperbaikinya pada sesi latihan bebas ketiga dan keempat esok.

"Selepas sesi pertama, keadaan saya semakin teruk kerana masalah gastrik serta dehidrasi. Melihat keadaan litar, kami memutuskan tidak meneruskan sesi seterusnya," katanya kepada pemberita.

"Esok kami akan cuba memperbaiki catatan itu dan saya rasa tindakan tidak meneruskan sesi kedua adalah baik untuk saya. Saya boleh menyimpan tenaga untuk perlumbaan esok dan Ahad," kata juara dunia tiga kali MotoGP itu.

Sementara itu, juara dunia Moto3, Brad Binder dari Afrika Selatan berharap cuaca yang baik esok selepas bertungkus lumus mendapatkan rentak dalam sesi latihan bebas kedua ekoran hujan pada tengah hari.

"Pada sesi pagi, kami tidak dapat melakukan banyak pusingan kerana kami menunggu litar yang lebih kering untuk menguji jentera. Litar yang kering pasti lebih baik tetapi hujan pula pada tengah hari, dan keadaan ini memaksa kami menguji pelarasan lain," katanya.

"Berita baiknya adalah kami tahu bagaimana untuk menetapkan pelarasan supaya lebih pantas dan mendapatkan keserasian dalam keadaan litar basah. Kami lebih mantap berlumba dalam keadaan kering dan hanya perlu meneruskannya," kata pelumba berusia 21 tahun itu.

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Berikut

Kapten Kedah Buru Masa Pulih

Artikel Lain