suria

Khairul Idham Pawi Laung Amaran Awal

PELUMBA harapan negara, Khairul Idham Pawi ketika beraksi pada sesi latihan bebas Moto3 semasa Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 28 Oktober 2016. - BERNAMA

SEPANG: Pelumba Moto3 harapan negara, Khairul Idham Pawi memberi amaran lebih awal kepada pelumba-pelumba lain apabila mencatat masa terbaiknya untuk menduduki tempat kedua dan ketiga pada dua sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Jumaat.

Khairul Idham meraih tempat kedua di belakang Brad Binder dari pasukan Red Bull KTM Ajo sebelum jatuh ke posisi ketiga pada sesi latihan bebas kedua di belakang Francisco Bagnaia dan Jorge Navarro.

Pelumba berusia 18 tahun kelahiran Kampung Gajah, Perak sebelum ini melakar sejarah permotoran negara apabila berjaya mengibarkan bendera Malaysia di pentas dunia buat kali pertama selepas menjuarai GP Argentina dalam kategori Moto3.

Peluang berlumba sepenuh musim bersama pasukan Honda tahun ini digunakan sebaiknya oleh pelumba yang terkenal dengan gelaran Super KIP itu biarpun pada aksi pembukaan di Qatar, dia hanya menamatkan saingan di tempat ke-22.

Tetapi kemenangan anak kelahiran Alor Gajah pada pusingan kedua di Argentina telah melonjaknya sebagai pelumba yang perlu diberi perhatian dengan catatan terpantas 41.35.432s.

Biarpun selepas itu dia gagal mengekalkan rentak sebagai juara, Khairul Idham terus memberi saingan sengit sehingga dia sekali lagi bergelar juara di Litar Sachsenring di Hohenstein-Ernstthal, Jerman pada Julai lalu.

Dalam perlumbaan di Litar Sepang pada hujung minggu ini, Khairul Idham mengakui bahawa dia lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik di hadapan penontotn sendiri.

Ternyata dia membuktikan kata-katanya, apabila mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama sesi latihan bebas dengan hanya ketinggalan 0.851s di belakang juara Moto3 musim ini, Binder.

Pelumba ketiga yang mencatat masa terpantas merupakan pelumba pasukan Mahindra, Bagnaia diikuti rakan sepasukannya, Marcos Ramirez.

Sementara itu, bagi saingan utama MotoGP tetap menarik perhatian penonton walaupun juara keseluruhan dunia sudah sah menjadi milik pelumba Repsol Honda, Marc Marquez.

Marquez menguasai aksi terpantas dalam sesi latihan pertama yang berlangsung pawa waktu pagi biarpun pelumba Sepanyol itu mengalami masalah gastrik.

"Saya tidak berapa sihat pada sesi latihan sebelah pagi tadi kerana mengalami gastik sejak dua hari lalu. Tetapi saya masih mampu berlumba walaupun bukan dalam prestasi 100 peratus.

"Pada sesi latihan kedua (sebelah petang) kami mengambil keputusan untuk tidak beraksi apabila melihat keadaan litar (basah).

"Esok kami akan cuba pertingkatkan lagi prestasi pada (sesi latihan ketiga dan kelayakan) dan mempamerkan aksi yang lebih baik," jelas juara dunia tiga kali itu.

Aksi MotoGP Malaysia akan diteruskan pada Sabtu dengan sesi latihan bebas ketiga sebelum saingan kelayakan bermula pukul 3 petang.

Moto3, Khairul Idham Pawi

Artikel Sebelum

Kapten Kedah Buru Masa Pulih

Artikel Berikut

Artikel Lain