suria

Kapten Kedah Buru Masa Pulih

ALOR SETAR: Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari kini menghitung hari untuk cergas 100 peratus supaya mampu beraksi membantu skuad Lang Merah di final Piala Malaysia menentang juara bertahan, Selangor, Ahad ini.

Khairul Helmi, 28, kini hanya mempunyai kurang daripada 48 jam bagi memastikan dirinya pulih 100 peratus untuk membolehkannya disenaraikan dalam misi Kedah menebus kekalahan 0-2 di tangan Selangor di final Piala Malaysia musim lepas.

"Saya hampir pulih daripada kecederaan namun apa yang penting saya dan pemain-pemain lain telah bersiap sedia dari segi mental. Walaupun perlawanan final nanti sengit, kami akan memastikan rentak permainan yang baik.

"Kami hanya ingin laksanakan tugas di atas padang bagi memastikan piala berada dalam genggaman," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini, Jumaat.

Khairul Helmi berkata beliau yakin pasukannya mampu berjuang habis-habisan di atas padang dalam tempoh 90 minit bagi membawa pulang piala keagungan itu ke Kedah.

Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe juga berkata, kecuali kapten pasukannya, pemain lain dalam skuad itu bebas daripada sebarang kecederaan.

"Saya yakin kami mampu dapat keputusan yang baik. Persiapan juga sudah beres cuma esok kita akan jalani latihan terakhir di Stadium Shah Alam sebagai persiapan untuk perlawanan Ahad ini," katanya.

Sementara itu, penjaga gol muda Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim berkata tidak timbul perasaan gemuruh dalam dirinya dan beliau akan cuba menjaga gawang daripada dibolosi.

"Saya akan buat yang terbaik dalam perlawanan akhir nanti dan harapan saya sama seperti seluruh penyokong Kedah supaya kami dapat membawa pulang Piala Malaysia," katanya.

Bagi penyokong skuad Lang Merah yang tidak berpeluang ke Stadium Shah Alam, mereka boleh menyaksikan perlawanan akhir itu di skrin besar yang akan dipasang di hadapan Dataran Masjid Zahir.

Artikel Sebelum

Marquez Lakukan Catatan Terpantas

Artikel Berikut

Artikel Lain