suria

Wei Feng Mara Ke Undian Utama Terbuka Perancis

Chong Wei Feng
KUALA LUMPUR: Pemain profesional perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng mara ke undian utama kejohanan badminton Superseries Terbuka Perancis di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

Wei Feng yang kini berada di ranking ke-50 dunia dijangka bertemu Angus Ng Ka Long dari Hong Kong di pusingan pertama undian utama, esok.

Terdahulu, pada perlawanan kelayakan hari ini, Wei Feng hanya mengambil masa 34 minit untuk menang mudah menundukkan pemain Denmark, Emil Holst 21-16 dan 21-19.

Seterusnya, pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menyekat kemaraan Scott Evans dari Ireland dalam masa 40 minit dengan catatan 21-16 dan 21-17 pada perlawanan kelayakan kedua, malam ini.

Manakala, satu lagi pusingan kelayakan melibatkan beregu campuran, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing dijadualkan berlangsung pada malam ini.

Pada pusingan pertama undian utama perseorangan lelaki negara esok, Iskandar Zulkarnain Zainuddin akan bertemu pemain pilihan keempat Shi Yuqi dari China, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei bertemu Hsu Jen Hao dari Taiwan dan Zulfadli Zulkiffli berhadapan pemain China, Huang Yuxiang.

Bagi acara beregu lelaki pula, Ong Yew Sin/Teo Ee Yi bertemu pasangan Indonesia Mohammad Ahsan/Berry Angriawan dan juara Terbuka Denmark, Goh V Shem/Tan Wee Kiong bertemu Kim Astrup/Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Beregu wanita, Vivian Hoo/Woon Khe Wei akan bertemu Naoko Fukuman/Kurumi Yonao dari Jepun.

Terbuka Perancis, Chong Wei Feng

Artikel Sebelum

Artikel Lain