suria

Thiago Augusto Sedang Lalui Detik Bahagia

THIAGO Augusto mendedahkan sedang melalui detik bahagia dalam dunia bola sepak kerana bukan sahaja akan mewakili Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi turut mendapat sokongan puluhan ribu penyokong.

Penyerang import kelahiran Brazil itu merupakan jentera serangan penting skuad hijau kuning yang akan turun menentukan status Piala Malaysia, sama ada akan kekal di Selangor atau dibawa pulang ke Alor Setar.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, meskipun pernah beraksi dalam perlawanan akhir ketika mewakili kelab Brazil dan Arab namun suasana yang dilalui di Kedah agak berlainan.

Ini kerana, buat pertama kali pemain pinjaman dari Felda United itu tidak putus menerima pelbagai ucapan dan sokongan daripada penyokong-penyokong Kedah.

"Mulanya saya melihat mereka memberi sokongan di dalam stadium yang dipenuhi dengan warna hijau kuning dan sekarang sokongan itu mula diberikan sehingga di luar padang.

"Ini adalah sesuatu yang luar biasa bagi saya walaupun pernah bermain dalam perlawanan akhir bersama kelab Arab dan di negara saya sendiri iaitu Brazil.

Tambahnya, situasi yang dilalui ketika ini merupakan suasana bahagia dalam bola sepak kerana sentiasa mendapat suntikan semangat daripada penyokong.

"Saya sedang melalui detik yang menggembirakan sebagai seorang pemain bola sepak profesional kerana sokongan datang bukan sahaja di atas padang tetapi di luar.

"Suasana ini membuatkan saya merasakan ingin bersama Kedah untuk musim seterusnya dan berjuang mendapat lebih banyak kejayaan bersama mereka.

"Sebagai pemain luar bukanlah mudah untuk sesuai diri dengan kelab-kelab tempatan, tetapi di sini saya gembira kerana sentiasa mendapat sokongan daripada semua termasuk rakan sepasukan dan pihak pengurusan.

"Walaupun tempoh saya di sini belum menjangkau setahun, tetapi sokongan yang diberikan kepada saya sudah cukup untuk membuktikan perhubungan yang akrab antara rakan sepasukan dan penyokong," jelasnya.

Augusto memberitahu, fokusnya kini adalah untuk memulihkan sepenuhnya kecederaan yang dialami sejak mewakili Felda United musim lalu supaya dapat memberi aksi terbaik.


Kedah, Selangor Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Eain Yow Pamer Aksi Cemerlang

Artikel Berikut

Artikel Lain