suria

Harimau Malaya Merosot Ke Tangga 168 Dunia

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam pentas bola sepak dunia terus merudum, menurut ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.

Skuad negara kini berada pada kedudukan sebaris pasukan yang lemah di posisi ke-168, jatuh enam anak tangga berbanding ranking pada Jun lepas.

Dalam kalangan negara Asia, Malaysia kini berada dalam kelompok bersama pasukan Bangladesh yang berada di ranking ke-169, Yaman (171), Pakistan (172), Laos (177), Kemboja (181) dan Brunei (184).

Kedudukan skuad kendalian Dollah Salleh itu berikutan kekalahan besar 0-6 kepada Palestin dan seri 1-1 menentang Timor Leste pada kelayakan Piala Dunia Rusia 2018.

Iran muncul pasukan terbaik dalam kalangan negara Asia apabila berada di ranking ke-39, diikuti Jepun (50), Korea Selatan (52) dan Australia (59).

Sementara itu, naib juara Copa America 2015, Argentina memintas juara Piala Dunia 2014, Jerman sebagai pasukan terbaik dunia selepas mengumpul 1,473 mata.

Jerman kini berada di ranking kedua dengan 1,411 mata, diikuti Belgium (1,244 mata) dan Colombia (1,217 mata), masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat dunia.

Kedudukan ranking bulanan FIFA itu melibatkan 209 negara.

Harimau Malaya, FIFA

Artikel Lain