suria

Kim Swee Harap Tiada Gangguan Latihan Akhir Skuad Sukan SEA

Kim Swee (kanan) ketika sesi latihan skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan.

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee berharap pasukan kelab dan negeri tidak mengganggu persiapan fasa akhir skuad berkenaan ke Sukan SEA 2015 yang bermula pada Ahad. 

Beliau berkata latihan fasa akhir itu amat penting dalam mencari keserasian sesama pemain di samping memberi peluang kepada pemain yang kurang beraksi dengan pasukan kelab dan negeri masing-masing untuk meningkatkan kecergasan sebelum pasukan berlepas ke Singapura pada 27 Mei ini. 

"Kita mempunyai lebih kurang tiga minggu sahaja dan saya berharap agar kelab dan pasukan negeri yang terlibat dapat memahami keadaan pasukan kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Ahad.

Pengendali berusia 44 tahun itu menjelaskan hanya 21 daripada 27 pemain yang dipanggil sebelum ini, melaporkan diri pada sesi latihan hari ini kecuali pemain Johor Darul Ta'zim dan Felda United FC yang akan berbuat demikian pada Isnin. 

Kim Swee memaklumkan dua pemain Pahang iaitu Matthew Davies dan D.Saarvindran hanya akan melaporkan diri pada 10 Mei ini memandangkan skuad Tok Gajah mempunyai dua perlawanan iaitu aksi Liga Super menentang Perak pada 5 Mei disusuli perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, empat hari kemudian.

"Kesemua 21 pemain cergas kecuali dua pemain iaitu Muhd Ferris Danial Mat Nasir dan Syahrul Azwari Ibrahim, namun kecederaan mereka tidak berapa serius,"katanya. 

Dalam pada itu, Kim Swee mendedahkan mereka bakal diuji pada dua aksi pemanas badan iaitu menentang skuad Liga Perdana Sabah di Kota Kinabalu pada 15 Mei selain masih menunggu pengesahan daripada Indonesia untuk aksi kedua pada 21 Mei ini di sini. 

"Sekiranya Indonesia tidak dapat hadir, kita masih mempunyai pasukan Myanmaratau Singapura bagi aksi persahabatan kedua di sini nanti," katanya. 

Senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2015 dijangka diumumkan Kim Swee pada 27 Mei. 

Malaysia berdepan laluan sukar dalam acara bola sepak Sukan SEA 2015 selepas diundi dalam kumpulan B bersama juara bertahan Thailand selain Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste. 

Skuad muda negara akan membuka kempen menentang Timor Leste pada  30 Mei;Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun. 

Kesemua perlawanan kumpulan B akan berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi kumpulan A yang melibatkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja akan berlangsung di Stadium Jalan Besar. 

Artikel Lain