suria

'Kecik' Diketepi Akibat Kecederaan Lutut

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
PETALING JAYA: Jurulatih skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee terpaksa melupakan khidmat pemain Kelantan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang mengalami kecederaan di bahagian lutut.

Tempat pemain sayap kiri itu yang lebih dikenali dengan gelaran 'Kecik' digantikan oleh pemain daripada senarai simpanan iaitu pemain Harimau Muda A, Mohammad Ridzuan Abdunloh Pula.

"Kita kehilangan seorang pemain buat masa ini iaitu Wan Zaharulnizam yang terpaksa diketepikan kerana masalah lutut dan digantikan oleh Mohammad Ridzuan dari Harimau Muda A.

"Manakala Aidil (Aidil Zafuan Abdul Razak) mengalami sedikit kecederaan tapi tidak serius. Hanya memerlukan beberapa hari untuk berehat dan melakukan rehabilitasi dan saya percaya Aidil akan kembali kalau tidak pada perlawanan menentang Yemen, dia akan beraksi ketika menentang China.

"Saya berharap selepas perlawanan malam ini (Piala Malaysia), tidak ada lagi pemain yang mengalami kecederaan yang serius," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi latihan pertama skuad itu dalam persediaan ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Sesi latihan pertama itu turut dihadiri Ketua Kontinjen Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang meninjau persiapan skuad negara bagi menghadapi cabaran getir saingan Kumpulan A.

Daripada 25 senarai pemain yang dipanggil menyertai sesi latihan dan pemilihan skuad negara ke Sukan Asia, tujuh daripada pemain belum melaporkan diri berikutan masih mempunyai baki perlawanan Piala Malaysia malam Rabu.

Tujuh pemain itu adalah terdiri daripada tiga pemain Selangor iaitu Nazmi Faiz Mansor, A.Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri, Nor Farhan Mohamad, Zubir Azmi (Terengganu), Bobby Gonzales (PDRM) dan Ashri Chuchu (Sarawak).

Malaysia diundi dalam kumpulan sukar apabila bertemu tuan rumah Korea Selatan pada perlawanan pertama Kumpulan A pada 14 Sept, diikuti menentang Laos dan Arab Saudi.

Hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja layak ke suku akhir saingan bola sepak Sukan Asia 2014.

Ditanya mengenai kekuatan lawan, Ong berkata beliau masih menunggu beberapa klip perlawanan persahabatan pasukan Korea Selatan untuk menilai tahap pasukan tuan rumah itu.

"Selain Korea, Arab Saudi juga menjadi antara pasukan favourite selain Jepun. Namun kita dapat melihat tahap pasukan Laos dan Arab Saudi sebelum bertemu mereka berbanding Korea kerana ia adalah perlawanan pertama.

"Ini bukan satu tugas yang mudah namun saya percaya skuad negara mampu memberi keputusan yang positif," katanya.

Mengenai sasaran ke suku akhir pula, jurulatih Harimau Muda A itu berkata barisan pemain yang disenaraikan adalah para pemain yang boleh mendapatkan keputusan yang positif kepada negara.

"Saya berharap walaupun dalam tempoh yang singkat ini, saya mampu mendapatkan satu strategi yang lebih baik terutama untuk pemain bersama di dalam atau luar padang sebelum ke China," katanya.

Malaysia akan berdepan skuad bawah 23 tahun Yemen dalam satu perlawanan persahabatan pada 6 September ini di Stadium Shah Alam, Selangor sebelum berlepas ke China untuk bertemu skuad bawah 23 tahun negara itu pada 10 September.

Ong berkata senarai 20 pemain yang sah memikul tanggungjawab ke Sukan Asia di Incheon akan diumumkan selepas perlawanan persahabatan dengan Yemen.

Artikel Berikut

Keputusan Piala Malaysia

Artikel Lain