suria

Piala Malaysia: Kedah, Terengganu & Selangor Mara Ke Suku Akhir

Pemain import Kedah, Namkong Woong (jersi kuning) dapat merampas bola dari pemain Perak, M.Idris Ahmad (jersi hitam) pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di Alor Setar, malam Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kedah, Terengganu dan Selangor masing-masing menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2014 selepas menduduki dua tangga teratas kumpulan malam Rabu.

Misi hidup mati Kedah akhirnya membuahkan hasil setelah berjaya menewaskan Perak 2-0 dalam Kumpulan B seterusnya menafikan skuad 'The Bos Gaurus' itu bagi mengisi slot suku akhir dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pertama Kedah hadir pada minit ke-71 menerusi tandukan Billy Mehmet Osman manakala dua minit kemudian Badrol Bakhtiar memberi kedudukan selesa buat Kedah dengan jaringan kedua.

Kedah muncul juara Kumpulan B dengan 10 mata keseluruhan diikuti Terengganu dengan sembilan mata.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, keputusan seri 0-0 menentang Sarawak sudah memadai untuk pasukan tuan rumah meneruskan perjuangan pada saingan seterusnya.

Di Stadium Shah Alam, Selangor mencatat kemenangan tipis 1-0 menentang T-Team menerusi jaringan tunggal pemain import Paulo Rangel pada minit ke-25. Skuad Gergasi Merah itu muncul naib juara Kumpulan D dengan punggutan 10 mata keseluruhan.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu meraih tiket ke suku akhir sekaligus muncul juara Kumpulan D dengan 16 mata.

Pada saingan terakhir peringkat kumpulan, PDRM menewaskan Sime Darby 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sime Darby terdahulu membuka jaringan pada minit ke-7 menerusi sepakan penalti oleh pemain import Mateo Roskam manakala tiga gol PDRM dijaringkan Ashfaq Ali pada minit ke-23, Chad Charles Sauza (81) dan Bobby Gonzales (89).

Piala Malaysia 2014

Artikel Berikut

Artikel Lain