suria

Goh V Shem dan Khim Wah Ke Final Grand Prix Emas

Regu negara yang berjaya ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Yonex-Sunrise Malaysia di Pasir Gudang pada Sabtu.

PASIR GUDANG: Gandingan Goh V Shem/Lim Khim Wah melangkah ke final Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Yonex-Sunrise Malaysia 2014 esok selepas menewaskan beregu pilihan ketiga Indonesia Markis Kido/Gideon Markus Fernaldi 18-21, 21-18, 21-17.

Beregu pilihan kedua itu, yang merupakan juara Terbuka Malaysia, akan berdepan gandingan Singapura Danny Bawa Chrisnanta/Chayut Triyachart.

Ketika ditemui selepas perlawanan separuh akhir pada Sabtu, Khim Wah mengakui kemantapan gandingan Markis dan Gideon pada set pertama, namun berkata beliau dan V Shem berjaya mengembalikan penguasaan pada set kedua bagi memaksa permainan diteruskan sehingga set penentuan.

"Kami akan mencuba yang terbaik pada final esok dan berharap dapat memenangi kejohanan pada kali ini," katanya.

Kejayaan itu sekali gus mengubat kekecewaan skuad badminton negara berikutan penarikan diri pemain perseorangan Wong Fei Feng dan kekalahan beregu wanita Lee Meng Yean/Lim Yin Loo.

Wei Feng sepatutnya bertemu pemain India Sourabh Varma namun terpaksa menarik diri kerana mengalami sakit belakang sejak dua hari lepas.

"Ini satu keputusan yang sangat sukar namun saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat. Memang sedih, tapi saya tetap positif dan berharap dapat sembuh segera agar dapat beraksi semula pada kejohanan lain selepas ini seperti Terbuka India dan Piala Thomas," katanya.

Penarikan diri itu memberi laluan kepada Sourabh untuk berdepan pemain Indonesia Simon Santoso yang menang ke atas Thammasin Sitthikom dari Thailand 21-12, 19-21, 21-18.

Beregu wanita Lee Meng Yean/Lim Yin Loo terkandas selepas tumpas kepada pasangan China Ou Dongni/Xiong Mengjing Xiong 17-21, 17-21.

Ou dan Xiong akan berdepan rakan senegara Yu Xiaohan/Huang Yaqiong.

Bagi kategori perseorangan wanita, pemain Indonesia Adrianti Firdasari akan beraksi di final bertemu pemain China Yao Xue manakala gandingan campuran Praveen Jordan/Debby Susanto dari Indonesia akan bertemu gandingan China Lu Kai/Huang Yaqiong.

Grand Prix Emas, Yonex, Sunrise

Artikel Lain