suria

Sikap Tamak Punca Pemain Langgar Kontrak - Hamidin

PETALING JAYA: Sikap tamak segelintir pemain antara punca mereka melanggar kontrak dengan pasukan yang ingin diwakili, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata selain itu, para pemain juga dilihat tidak memahami dengan jelas syarat-syarat yang terkandung dalam sesebuah kontrak yang bakal ditandatangani sehingga mengundang masalah kepada mereka kemudian hari.

"Pemain itu sendiri patut tahu mengenai akibat daripada kontrak yang bakal ditandatanganinya (dengan sesebuah pasukan).

"Kadang kala, apabila pemain melakukan kesalahan (dengan menandatangani dua kontrak dalam satu musim), mereka cuba menidakkan perkara ini dan pada akhirnya, mereka meminta (bantuan) kita (FAM) untuk menyelesaikan masalah mereka," katanya ketika ditemui Bernama di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, Isnin.

Hamidin berkata demikian bagi merujuk kes perlanggaran kontrak yang melibatkan beberapa pemain tempatan sebelum bermulanya Liga Malaysia 2014.

Antaranya ialah bekas pertahanan Johor Darul Takzim, Mohd Nazri Ahmad yang sah beraksi bersama Kelantan, musim depan walaupun dikatakan sudah menandatangani borang C302 dengan pasukan Selangor.

Turut terpalit dengan isu berkenaan ialah dua pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus yang membuat pusingan U untuk kekal beraksi dengan pasukan asal walaupun masing-masing dikatakan sudah menandatangani borang yang sama bagi menyertai Felda United FC musim depan.

Borang C302 ialah borang kontrak perjanjian sementara yang menjadi bukti bahawa seseorang pemain bersetuju untuk mewakili nama pasukan dalam borang berkenaan.

Hamidin berkata FAM membenarkan seseorang pemain untuk mengadakan rundingan dengan pasukan lain iaitu tiga bulan sebelum kontrak mereka dengan pasukan asal berakhir.

Katanya, tempoh kontrak pemain tempatan biasanya bermula 1 Disember dan berakhir pada 30 November tahun seterusnya.

"Sekiranya mereka bersetuju untuk beraksi dengan pasukan baharu, mereka diwajibkan menandatangani borang C302 sambil disaksikan oleh beberapa individu termasuk Setiausaha Kehormat pasukan tersebut.

"Borang itu akan mengikat pemain berkenaan daripada mengadakan perbincangan dengan pasukan lain kerana kuasa yang ada pada borang kontrak C302 hampir menyerupai sebuah kontrak sebenar," katanya. - BERNAMA

Datuk Hamidin Mohd Amin, FAM

Artikel Lain