suria

Malaysia Jumpa Singapura di Suku Akhir Siri Super Istaf 2013/2014

KOTA KINABALU: Malaysia akan menentang Singapura pada perlawanan suku akhir pusingan ketiga Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa Siri Super ISTAF 2013/2014 di Kompleks Sukan Likas di sini, esok.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini, Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengatasi Indonesia 2-1, sekali gus muncul juara kumpulan.

Sebelum ini, Malaysia mengatasi Iran dan India, masing-masing dengan keputusan 2-0.

Malaysia dalam misi memburu kejuaraan pertama siri antarabangsa itu selepas muncul naib juara dalam dua siri pertama di New Delhi, India, Ogos lepas dan Bangkok, Thailand, bulan lepas.

Dalam pertemuan dengan Indonesia, regu negara Noor Azman Hamid sebagai tekong serta dua pemain muda Hanafiah Dollah dan Syazreen Qamar Sarehan berjaya menumpaskan pencabar utama kumpulan itu dalam tiga set selama 63 minit.

Dalam set pertama, Malaysia mengatasi regu Abrian Siahab Aldi (tekong) dan dua pengapitnya iaitu Hendra Pago dan Nofrisal dengan 15-9.

Bagaimanapun, regu Indonesia, yang mendapat sokongan kuat rakyat negara itu di stadium berkenaan, bangkit untuk menyamakan kedudukan dengan 15-8.

Harapan regu negara disandarkan kepada Fazil Mohd Asri, yang dimasukan pada set kedua, menggantikan Noor Azman sebagai tekong untuk mendapatkan mata melalui servis, ternyata tidak menjadi apabila servisnya kerap tidak menjadi.

Bagaimanapun, tindakan Malaysia memasukkan semula tekong Noor Azman pada set penentuan membuahkan hasil apabila memenangi dengan keputusan 15-12.

Pengurus pasukan negara Jalaluddin Hassan berharap regu Malaysia akan meneruskan momentum perlawanan mereka bagi melangkah ke final, sekali gus menjuarai kejohanan tersebut.

"Kita berharap regu kita akan terus berusaha memperbaiki permainan pada peringkat suku akhir dan separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir," katanya.

Dalam pada itu, skuad wanita negara akan menentang Thailand pada separuh akhir esok.

Jadual Suku Akhir Esok (Bermula 2 petang) MALAYSIA mln Singapura

Jepun mln India

Indonesia mln Brunei Darussalam

Thailand mln Iran.

-BERNAMA

Artikel Lain