suria

Siaran Langsung Piala Sultan Selangor Di TV3

PETALING JAYA: Edisi ke-12 Piala Sultan Selangor bakal berlangsung pada 28 September ini di Stadium Shah Alam dengan menyaksikan pertemuan dua musuh tradisi, Selangor dan Singapura.

Sebagai rekod, Selangor dan Singapura saling berkongsi lima kejuaraan termasuk juara bersama pada tahun 2004 sejak pertama kali Piala Sultan Selangor diperkenalkan pada tahun 2001.

Selepas tewas tiga edisi berturut-turut, Selangor akhirnya merampas kejuaraan Piala Sultan Selangor apabila menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan edisi ke-11 menerusi jaringan Safiq Rahim, Basko Balaban dan Rozaimi Abdul Rahman.

Bagi memeriahkan lagi aksi tahun ini, TV3 bakal menjadi penyiar rasmi perlawanan tahunan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Izham Omar, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad: “Sebagai stesen televisyen nombor satu Malaysia yang merangkumi siaran paling luas dengan jumlah kadar tontonan yang tinggi, TV3 bukan sahaja menfokuskan program-program berbentuk drama, majalah, dokumentari dan hiburan, malah sukan merupakan satu genre yang ingin diketengahkan apatah lagi selepas kejayaan perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang FC Barcelona sewaktu Hari Raya lalu.

“Buat julung kalinya, TV3 amat berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menjadi penyiar rasmi Piala Sultan Selangor di mana pastinya pertembungan bersejarah antara pasukan Selangor dengan Singapura.

"Berita baik juga kepada peminat bola sepak tempatan, anda boleh menonton di saluran percuma bukan sahaja pada tahun ini malah TV3 akan kekal sebagai penyiar rasmi perlawanan tahunan berprestij ini untuk tahun 2014 dan 2015.

"TV3 akan terus berusaha menyajikan lebih banyak lagi program sukan di masa akan datang.

"Dapatkan maklumat terkini mengenai program sukan baru yang bakal disiarkan di laman sesawang rasmi TV3.”

Sementara itu, Pengerusi dan Pengurus Pasukan, Piala Sultan Selangor 2013, Datuk Abd. Karim Munisar berkata, perlawanan tahun ini dijangka akan lebih sengit dengan aksi dan kepantasan pemain memandangkan kedua-dua pasukan begitu bersemangat untuk memenangi perlawanan.

"Kedua-dua pasukan saling berkongsi lima kejuaraan termasuk juara bersama pada tahun 2004 sebelum ini.

"Selangor telah memenangi kejuaraan pada tahun 2001, 2003, 2005, 2008 dan 2012 manakala Singapura pada tahun 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011," jelasnya.

Perlawanan ini turut disiarkan secara langsung di portal video Tonton (www.tonton.com.my/livetv) dan boleh ditonton secara global.

Terlebih dahulu, perlawanan antara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura akan bermula pada jam 8.00 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain