suria

Moyes & United Mulakan Kempen Musim Baru Dengan Penuh Bergaya

PENGURUS baru Manchester United, David Moyes memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris dengan penuh bergaya apabila pasukan bimbingannya yang dibarisi bintang-bintang musim lalu menumpaskan Swansea City 4-1 lewat malam tadi.

Malah pemain kontroversi yang secara rasmi memohon agar disenaraikan dalam senarai perpindahan Wayne Rooney turut menyumbang peranan penting dalam dua gol terakhir United yang dijaringkan oleh Robin van Persie dan Danny Welbeck.

Kedua-dua pemain berkenaan sebelum itu menyumbangkan dua gol pendahuluan untuk United.

Gol konsolasi Swansea dijaringkan oleh Wilfried untuk mengurangkan defisit kekalahan.

Pengurus Swansea, Michael Laundrup berkata selepas perlawanan itu, yang membezakan pasukan mereka dengan United ialah sentuhan akhir para penyerang United.

"Dua gol yang dijaringkan oleh van Persie adalah gol bertaraf dunia dan itulah yang membezakan permainan antara kami dengan United walaupun untuk setengah jam pertama kami yang menguasai permainan tapi tidak dapat menyempurnakan serangan," katanya.

Sementara itu, Rooney yang dimasukkan mengantikan kuda tua berusia 39 tahun, Ryan Giggs, pada minit ke-61, kelihatan 'enggan' meraikan dua jaringan gol terakhir dengan rakan-rakan sepasukannya.

Dia bermain dengan penuh semangat termasuk melakukan gerakan kameo yang menarik dari sebelah kiri ke kanan bagi mengelirukan para pemain pertahanan Swansea sekaligus memudahkan van Persie meloloskan diri untuk menjaringkan gol ketiga United.

Begitu juga apabila dia menghantar bola kepada Welbeck untuk menjaringkan gol keempat United, Rooney tidak kelihatan menyerbu ke arah rakan-rakan sepasukannya untuk meraikan jaringan tersebut.

Sebaliknya dia berseorangan berjalan di atas padang.

Moyes yang membariskan pemain-pemain yang pernah menjadi plihan utama bekas pengurus Sir Alex Ferguson telah membuktikan yang dia bukanlah pilihan yang salah untuk mengantikan lagenda bolasepak Britain itu.

Malah dia tidak menjejaskan formasi pasukan itu yang telah memenangi kejuaraan liga yang ke-13 untuk Ferguson musim lalu dengan mengekalkan susunan berlian 4-4-1-1 dengan van Persie bertindak sebagai penyerang solo diikuti oleh seorang penyerang sokongan iaitu Welbeck dan Tom Cleverly bertindak sebagai perancang tengah dengan sokongan Giggs.

Malah barisan pertahanan United dibarisi oleh tiga pemain veteran yang telah berusia lebih 30 tahun iaitu kapten Nemanja Vidic, Patrice Evra dan Rio Ferdinand namun usia tidak sedikit pun menjejaskan pergerakan mereka.

Tetapi bukan mereka sahaja pemain yang berusia yang berada di atas padang. Giggs yang juga merupakan jurulatih sokongan United akan menyambut ulang tahun yang ke-40 tidak lama lagi bermain selama 60 minit sebelum digantikan oleh Rooney.

Malah seorang lagi pemain tengah, Michael Carrick yang juga telah mencecah umur 30 tahun bermain penuh 90 minit.

SENARAI PEMAIN SWANSEA: Vorm 6; Rangel 6, Flores 6, Williams 5, Davies 6; Britton 6 (Bony 46, 6),Canas 5 (Ki 76, 6), Shelvey 7, Dyer 6, Routledge 6 (Hernandez 46, 6); Michu 6.

Simpanan Yang Tidak Digunakan: Tremmel, Amat, Pozuelo, Taylor.

Gol: Bony Wilfreid, 82.

SENARAI PEMAIN UNITED: De Gea 6; Jones 6, Ferdinand 6, Vidic 6, Evra 6; Valencia 6, Carrick 7, Cleverley 7, Giggs 6 (Rooney 61 6); Welbeck 8, Van Persie 8 (Anderson 86).

Simpanan Yang Tidak Digunakan: Lindegaard, Smalling, Fabio, Kagawa, Zaha.

Gol: Van Persie 34, 72, Welbeck 36, 90.

Jumlah penonton: 20,733

Artikel Lain