suria

Tiada Rezeki Di Kolam Renang Universiade

KAZAN, (Russia): Skuad terjun negara masih buntu mencari peluang untuk meraih sebarang pingat pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di sini, Rabu.

Pada acara akhir 3 meter papan anjal wanita dan 10m platform lelaki, masing-masing Jasmine Lai Pui Yee dan Ooi Tze Liang gagal mencuri tumpuan juri untuk berada pada kedudukan tiga terbaik.

Jasmine menamatkan saingan di tempat kedua tercorot daripada 12 perserta dengan catatan 216.40 mata dalam acara 3 meter papan anjal.

Pingat emas dan perak acara tersebut menjadi milik negara China menerusi Zheng Shuangxue dengan 329.25 mata dan Jia Dongjin (312.75 mata).

Pingat gangsa menjadi milik penerjun Mexico, Elizabeth Arantxa Chavez yang memperoleh 304.85 mata.

"Saya akui ada beberapa kesilapan dalam terjunan tadi, pada terjunan keempat saya hampir cedera. Saya perlu banyak latihan lagi untuk kejohanan-kejohanan akan datang," katanya.

Bagi acara 10m platform lelaki, Ooi terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kelapan daripada 12 peserta dengan catatan 381.00 mata.

Pingat emas dan perak didominasi oleh China menerusi Liang Huo (531.25 mata) dan Jun Wu (520.40mata).

Pingat gangsa menjadi milik penerjun tuan rumah Victor Minibaev dengan 519.00 mata.

Di kolam renang, perenang negara turut mengecewakan apabila lima wakil Daniel Bego dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki; Chui Lai Kwan dan Chan Kah Yan (50m kuak kupu-kupu wanita); Ian Leondy Bell (50m kuak kupu-kupu lelaki) dan Yap See Tuan (100m kuak dada lelaki) tersingkir pada pusingan awal dalam acara masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain