suria

Sea Kong Dinobat Juara Edisi Ke-48 Jelajah 1Malaysia

PUTRAJAYA: Pelumba negara Loh Sea Keong dinobatkan sebagai juara keseluruhan edisi ke-48 perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M 2013).

Dalam perlumbaan lima peringkat yang melabuhkan tirainya di sini Ahad, pelumba berusia 26 tahun itu berjaya menyarung jersi Kuning selaku juara keseluruhan apabila mengumpul catatan masa 20 jam 11 minit 58 saat.

Selain jersi Kuning, beliau turut mengekalkan jersi Biru selaku pelumba terbaik Asia dan jersi Putih selaku pelumba terbaik Malaysia.

"Ini suatu pencapaian yang amat bermakna kepada saya. Saya amat berbangga kerana menjadi pelumba Malaysia yang memenangi jersi Kuning ini. Penat lelah dan usaha keras saya akhirnya berbaloi," katanya.

Pelumba pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan pelumba Malaysia yang lain atas bantuan mereka dalam mencapai kejayaan itu.

Sea Keong berkata beliau akan cuba mempertahankan kejuaraan itu pada edisi tahun depan.

"Saya rasa saya masih mampu lagi (untuk muncul juara keseluruhan)...itu pun sebelum saya bersara," katanya secara berseloroh. Selepas J1M 2013, tumpuan beliau kini terarah kepada beberapa perlumbaan seperti Tour of Borneo, Tour de East Java dan Tour of Hokaido.

Perlumbaan peringkat kelima dan terakhir dari Bukit Katil ke Putrajaya dengan jarak 169.8km menyaksikan pelumba Azerbaijan, Samir Jabra Yilov dari pasukan Synergy Baku Cycling Project menang dengan catatan masa 4:01.23s.

Beliau berjaya memintas di saat akhir dua lagi pelumba pendahulu dari Filipina, Ronald Oranza daripada LBC-MVPSF Cycling Pilipinas dan Galedo Mark Lexer daripada Team 7 Eleven Presented by Roadbike Philippines.

Gelaran Raja Bukit pula dimenangi oleh Mohd Zamri Salleh daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) walaupun gagal meraih sebarang mata pada peringkat pendakian di Bukit Mantin, Negeri Sembilan.

"Saya sebenarnya adalah pelumba pecut dan pendakian dalam perlumbaan ini tidak tinggi dan boleh juga dimonopoli oleh pelumba pecut. Saya berbangga juga bila mendapat jersi Merah ini," kata pelumba berusia 29 tahun itu.

Sementara adiknya, Mohd Harrif pula mengekalkan jersi Hijau selaku Raja Pecut, sekali gus mengulangi pencapaiannya pada edisi 2011.

"Semasa peringkat ketiga, saya memang yakin untuk menang peringkat itu dan raih jersi Hijau. Bagaimanapun, sasaran untuk melakukan satu lagi pecutan berkumpulan tidak berjaya tetapi saya gembira menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik," katanya.

Pasukan Synergy Baku Cycling Project muncul pasukan terbaik keseluruhan dengan mengumpul catan masa 60:40:18s, sementara pasukan kebangsaan Malaysia menamatkan saingan di tempat keenam dengan mengumpul masa 60:54:30s. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain