suria

Dua Pemain Terbaik Johor DT Akan Terima Kereta SUV Audi Q7 Jika Menang

JOHOR BARU: Dua pemain terbaik pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada musim ini akan menerima ganjaran berbentuk kereta SUV Audi Q7, kata presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ganjaran tersebut adalah tambahan kepada bonus lumayan yang akan diberikan kepada kedua-dua pasukan Johor sekiranya Johor DT memenangi Piala FA menentang Kelantan pada final, Sabtu ini.

"Semua inisiatif ini dilakukan sebagai menunjukkan penghargaan terhadap segala usaha dan komitmen yang ditunjukkan pasukan dan para pemain," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Bagi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Tunku Ismail menyeru penyokong pasukan itu agar sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku mereka ketika di stadium itu.

"Elakkan daripada mencetuskan sebarang kekecohan dan provokasi, serta sentiasa patuh kepada arahan pegawai-pegawai keselamatan yang bertugas.

"Saya berharap penyokong dari kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan dan persaudaraan," katanya.

Justeru, menurut beliau satu perjumpaan ramah mesra di antara penyokong Johor DT dan Kelantan akan diadakan di kawasan rehat Seremban, Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Bukit Jalil pada hari perlawanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain