suria

Kompleks Sukan Lahad Datu Dijangka Siap Oktober 2014

KOTA KINABALU: Kompleks Sukan Lahad Datu yang mula dibina pada pertengahan Oktober tahun lepas dijangka siap pada Oktober 2014.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri Masiung Banah berkata sehingga 8 Jun lalu kerja-kerja tanah dan cerucuk telah siap sepenuhnya.

"Kerja-kerja konkrit baru bermula untuk tempat duduk utama (Grand Stand)," katanya ketika menjawab kepada soalan Datuk Mohammad Yusof Apdal (BN-Lahad Datu) semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-14 di sini Selasa.

Masiung yang mewakili Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata prestasi pelaksanaan kerja fizikal Kompleks Sukan Lahad Datu telah mencapai 22.85 peratus berbanding sasaran 20.74 peratus, sekali gus mendahului jadual 2.11 peratus.

"Terdapat 16 komponen asas projek ini antaranya termasuk astaka yang boleh memuatkan 1,500 penonton, pejabat pentadbiran dan tempahan, bilik mesyuarat, bilik kuliah dan seminar, tandas, bilik persalinan lelaki dan perempuan, tempat kawasan duduk VIP, kemudahan acara padang, tempat letak kereta dan gelanggang permainan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang menjawab soalan Chan Foong Hin (DAP-Sri Tanjong) berhubung status Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3 dan pembinaan Empangan Air Tawau, berkata kos pembinaan empangan itu dianggarkan bernilai RM271 juta dan kerja fizikal akan dimulakan setelah peruntukan diperoleh.

Beliau berkata kementeriannya sedang melaksanakan kerja-kerja menyediakan reka bentuk bagi Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3.

"Walau bagaimanapun jadual ini dilanjutkan kepada bulan Ogos 2013 disebabkan penambahan skop dengan merangkumi skop kawalan banjir.

"Ini bermakna bahawa komponen utama projek iaitu pembinaan empangan bukan sahaja berfungsi sebagai penyimpanan air mentah malah untuk mengawal banjir bagi kawasan Tawau kelak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain