suria

Mourinho 'Special One' Kini 'Happy One' Tiba Di Chelsea

Mourinho tersenyum sambil mempamerkan jersi Chelsea selepas secara rasminya dilantik sebagai pengurus kelab itu.
Mourinho tersenyum sambil mempamerkan jersi Chelsea selepas secara rasminya dilantik sebagai pengurus kelab itu.
Mourinho tersenyum sambil mempamerkan jersi Chelsea selepas secara rasminya dilantik sebagai pengurus kelab itu.

JOSE Mourinho Special One yang secara rasminya tiba di Chelsea pada Isnin berkata, dia kini Happy One dengan rekod kedua bersama kelab yang sentiasa dihatinya.

"Jika saya perlu memilih nama gelaran buat masa ini, saya akan memilih the Happy One.

"Masa berlalu. Ia seperti hanya beberapa hari, tetapi sebenarnya sudah sembilan tahun saya meninggalkan Chelsea sebagai pengurus sebelum ini.

"Saya masih lagi seperti dulu, orang yang sama.

"Saya mahu dikenali sebagai orang yang gembira. Kali pertama saya tiba di sini, saya sudah menyayangi kelab ini," jelas Mourinho.

Mourinho membawa pasukan Chelsea meraih trofi liga pada tahun 2005 dan 2006 ketika pertama kali menguruskan kelab London ini tetapi berhijrah ke kelab lain pada tahun 2007.

Penghijrahan itu dikatakan kerana tidak persefahaman dengan pemilik kelab, Roman Abramovich.

"Saya hanya membaca dan mendengar pelbagai laporan mengenainya. Itu tidak betul. Ramai orang tidak percaya, tetapi itu adalah sebahagian daripada perjanjian.

"Pada masa itu, kami berbincang dan ia adalah keputusan yang baik untuk kedua-dua pihak. Ia adalah satu saat yang menyedihkan...tetapi saya tidak menyesal," jelas bekas pengurus Inter Milan dan Real Madrid ini.

Sejak meninggalkan Chelsea, Mourinho mengendalikan pasukan Milan dengan meraih dua trofi Serie A, piala domestik dan juga Liga Juara-Juara sebelum berpindah ke Madrid dengan menjuarai gelaran La Liga serta Piala Raja Sepanyol.

Jurulatih Portugis ini tidak pernah menguruskan kelab lebih daripada tiga tahun, namun kali ini dia bersetuju mengikat kontrak bersama The Blues selama empat tahun.

"Ya, dan sekarang saya sudah bersedia. Kontrak saya selama empat tahun.

"Saya harap dapat berada di sini sehingga tarikh terakhir kontrak. Jika kelab mahu saya terus kekal, saya pastinya lagi gembira," jelasnya.

Sementara itu, Mourinho turut mengulas mengenai beberapa orang pemain senior yang turut bersama ketika menguruskan kelab ini beberpaa tahun dahulu.

John Terry,32, Frank Lampard (34), Ashley Cole (32), Petr Cech (31) dan Michael Essien (30) antara nama yang menjadi perhatian peminat bola sepak Chelsea mengenai kedudukan mereka.

"Amat menggembirakan saya apabila melihat mereka masih berada di sini yang mana pemain-pemain itu telah memberi segala-galanya ketika bersama saya dahulu.

"Namun apa yang penting dan yang perlu kamu tahu, tiada keistimewaan terhadap mereka. Mereka kenal sikap saya," tegasnya.

Kedudukan Terry bersama Chelsea masih samar apabila masih belum memperbaharui kontraknya yang berbaki setahun.

Rakannya, Ashley dan Lampard telah perbaharui kontrak mereka selama setahun, Cech berbaki tiga tahun, manakala Essien dua tahun.

Dengan kurang aksi pada musim lalu gara-gara kecederaan, kapten The Blues itu agak bimbang mengenai masa depannya.

"Saya hanya akan bercakap mengenai masa depan sahaja. Keputusan Benitez adalah keputusan dia dan saya menghormatinya.

"Saya akan bertemu Terry pada Julai ini dan akan cuba sebaik mungkin. Saya tahu apa yang dia boleh berikan. Jadi, saya akan cuba buatkan dia sebagai pemain penting sekali lagi, yang mana dia tidak dapat pada musim lalu," jelasnya.

Dalam masa sama, Mourinho turut menjelaskan bahawa dia akan membawa muka-muka baru dan turut merancang untuk memanggil kembali Romelu Lukaku dan Ken de Bruyne yang dipinjamkan kepada West Brom dan Werder Bremen.

"Mereka adalah jenis pemain yang telah banyak menyumbang kepada Chelsea.

"Kedua-dua mereka sudah bersedia untuk kembali dan berada dalam pasukan," tambahnya.

Artikel Lain