suria

Pelari Kenya Dominasi Kejohanan KL Tower International Sunrise 2013

KUALA LUMPUR: Pelari dari Kenya 'menawan' Menara Kuala Lumpur hari ini dengan mendominasi Kejohanan KL Tower International Sunrise 2013 di sini dalam kategori terbuka lelaki dan wanita.

Pelari lelaki Kenya menyapu bersih tiga tempat teratas dalam kategori terbuka lelaki dengan Collins Kipkorir Kimosop muncul sebagai juara selepas menamatkan larian dalam masa 13 minit lima saat.

Rakan senegaranya, Wambui Paul Kimani dan Enock Kipchirchir menduduki tempat kedua dan ketiga selepas masing-masing menamatkan larian dalam masa 13:37s dan 13:38s.

Pelari wanita Kenya, Susan Jemutai Kosgei, dengan catatan masa 15 minit 32 saat pula menjuarai kategori terbuka wanita, menewaskan rakan senegara Ann Njihia yang menamatkan larian 15:49s.

Peserta Malaysia Michele Tan Bee Kiang pula menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 16:4s.

Pemenang bagi kategori terbuka lelaki dan wanita terbuka membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM2,000 dan RM1,000 berserta pingat dan sijil.

Sementara itu, Grace Wayua Kitonga juga dari Kenya muncul juara bagi kategori wanita veteran selepas mengalahkan dua pelari negara Wendy Wong dan Kona Liau yang masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Grace menamatkan saingan dalam masa 18 minit tiga saat, manakala Wendy dengan catatan masa 19:30s dan Kona (19:49s).

Pemenang kategori wanita veteran membawa pulang wang tunai RM2,000 bagi tempat pertama, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM1,000 dan RM800 berserta pingat dan sijil penyertaan.

Pelari Perancis Jean Pierre Lautredoux menjuarai kategori lelaki junior veteran selepas menamatkan larian dalam masa 13:44s mengatasi pelari Kenya, Charles Thaiya yang menduduki tempat kedua dengan catatan 14:20s dan tempat ketiga pula menjadi milik pelari negara, Guianus Salagan (14:37s).

Pemenang kategori lelaki junior veteran membawa pulang wang tunai RM3,000 bagi tempat pertama, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM2,000 dan RM1,000berserta pingat dan sijil penyertaan.

Kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dimenangi Razali Jaafar (19:11s), manakala di tempat kedua Mohd Sabki Arifin (20:11s) dan Ahmad Effendi Razaman di tempat ketiga (27:55s).

Lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara menyertai larian kali ke-12 itu dimana para peserta dikehendaki mendaki bukit sejauh 800 meter sebelum mengharungi 2,058 anak tangga untuk sampai ke garisan penamat di Mega View Banquet Hall yang terletak di paras 200 meter.-BERNAMA

Artikel Lain