suria

Edisi Ketiga Kejohanan Golf IPT Tarik Lebih Ramai Penyertaan

KUALA LUMPUR: Seramai 90 pemain golf yang terdiri daripada mahasiswa tempatan akan bersaing merebut Piala Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada edisi ketiga Kejohanan Golf Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Kelab Golf Rahman Putra Malaysia di Sungai Buloh bermula dari 8 hingga 11 Mei ini.

Pengarah Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Azmi Shaari berkata jumlah penyertaan kali ini adalah yang teramai berbanding tahun sebelum ini dengan 73 peserta.

"Edisi kali ini juga menawarkan peningkatan dalam jumlah hadiah keseluruhan daripada RM16,000 kepada RM20,000 dalam bentuk barangan. Untuk kali pertama juga, kita menyediakan tiket penerbangan kepada peserta yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole-in-one)," katanya pada sidang akhbar mengenai kejohanan itu di Wisma OCM, di sini pada Selasa.

Kejohanan Golf IPT itu mempertandingan empat kategori iaitu Individu Lelaki, Individu Wanita, Berpasukan Lelaki dan Berpasukan Wanita.

Menurut Azmi, berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang dijalankan secara bersiri, edisi kali ini hanya akan berlangsung sekali sahaja agar tidak membebankan mahasiswa.

Katanya, UUM sebagai pengendali Pusat Kecemerlangan Sukan Golf KPT, sekali lagi dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kejohanan berkenaan.

Sementara itu, atlet pelapis negara, Muhammad Wafiyuddin Abdul Manaf berkata beliau berada pada tahap prestasi terbaik untuk kejohanan ini.

"Saya telah menjalani latihan 20 jam seminggu di Universiti Utara Malaysia dan saya perlu meningkatkan stamina saya sebelum menghadapi kejohanan kali ini," kata penuntut tahun ketiga jurusan Pengurusan Awam UUM kepada pemberita.

Pemain berusia 22 tahun dari Kedah ini, yang juga juara bertahan Kejohanan Golf IPT, bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan kali ini tetapi menjanjikan saingan terbaik dan meyakinkan.

Muhammad Wafiyuddin juga bakal menggalas cabaran negara apabila akan beraksi di Sukan SEA Myanmar pada Disember ini selepas diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Sebagai rekod, beliau sebelum ini berjaya memenangi beberapa kejohanan golf amatur antaranya Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin 2012 dengan membawa pulang biasiswa bernilai RM40,000 berserta piala pusingan.-BERNAMA

Artikel Lain