FAM Perlu Henti Cari Kesilapan Orang Lain - Khoo - Sukan | mStar

FAM Perlu Henti Cari Kesilapan Orang Lain - Khoo

KUALA LUMPUR: Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus menguatkuasa Artikel 88 Statut FAM menyebabkan mereka kehilangan ramai pemimpin berkaliber dan akhirnya merugikan sukan bola sepak negara, kata pengkritik sukan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata sekiranya FAM meneruskan tindakan menghukum ahli gabunganya dengan menggunakan Artikel 88 Statut FAM, lama-kelamaan kelangsungan perkembangan bola sepak negara akan terbantut.

"Mereka (FAM) sepatutnya lebih risau dengan prestasi semasa skuad Harimau Malaya yang semakin merudum dan bukannya sibuk mencari kesalahan orang lain," katanya.

Khoo berkata FAM harus segera hentikan 'ketagihan' menghukum orang lain sebaliknya kembali menumpukan perhatian kepada misi asalnya sebagai badan induk yang memayungi sukan bola sepak di negara ini.

Beliau berkata sekiranya perkara itu berterusan ianya dikhuatiri akan membunuh minat orang ramai untuk terus menyokong skuad Harimau Malaya.

"Saya cadangkan agar FAM tentukan tempoh masa contohnya tiga atau empat tahun untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak dengan cara memperbaiki kelemahan yang ada pada skuad kebangsaan," katanya.

Khoo berkata beliau hanya sekadar melontarkan buah fikiran demi kebaikan bersama, terpulang kepada pihak FAM untuk menentukan kaedah terbaik bagi mengatasi kekurangan yang ada.

"Saya sedar bahawa FAM tidak suka 'orang luar' campur tangan dalam urusan mereka namun 'orang luar' tidak akan berhenti mengkritik FAM selagi prestasi bola sepak negara masih berada di takuk lama," katanya.

Beliau berkata skuad Harimau Malaya adalah milik rakyat Malaysia dan mereka berhak mengkritik pengurusan yang mengendalikan pasukan kebanggaan mereka itu.

Artikel 88 Statut FAM yang melarang anggotanya termasuk jurulatih dan pemain mengkritik badan induk bola sepak itu.

Rabu lepas, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas merasakan cukup sukar terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM, lalu memilih mahu bertindak sebagai penaung PBNJ.

Pada perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu, 30 Mac lepas, Tunku Ismail, yang digantung enam bulan kerana mengkritik pengadil dalam saingan Liga Malaysia, telah dilihat berada di bangku simpanan pemain pada separuh masa kedua perlawanan.

Mengikut peraturan Jawatankuasa Tata Tertib FAM, semasa tempoh pengantungan itu Tunku Ismail dilarang daripada melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti berkaitan dengan bola sepak.

Untuk rekod, terdahulu sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim turut menjadi mangsa Artikel 88 Statut FAM apabila digantung dua tahun enam bulan dan didenda RM39,000 kerana kesalahannya mengkritik badan induk itu.

Pada tahun lepas, Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, digantung dua setengah tahun kerana melanggar peraturan yang sama. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain