suria

Jangan Jadikan Padang Becak Alasan Untuk Hilang Tumpuan - Sultan Ahmad Shah

KUANTAN: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah mahu Harimau Malaya memberi tumpuan penuh kepada persediaan menentang Thailand esok walaupun menghadapi 'rintangan' awal di tempat lawan.

Baginda tidak mahu padang latihan yang dikatakan becak serta tidak sesuai menghalang pemain negara memberi tumpuan kepada perlawanan kedua separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 itu.

"Segala halangan yang dihadapi pemain tidak harus menjejaskan tumpuan kerana kemenangan penting untuk membawa skuad negara layak ke final.

"Biar apapun keadaan padang berair dan becak, mereka perlu bermain bermati-matian. Lupakan segala halangan itu, sebaliknya memberi tumpuan dan komitmen tinggi terhadap permainan," titah Sultan Pahang itu kepada pemberita, di sini, pada Rabu.

Titah baginda, Harimau Malaya bukan sekadar membawa cabaran negara tetapi mewakili rakyat untuk mencipta kemenangan dalam usaha mengekalkan kejuaraan yang dimenangi di Jakarta, Indonesia dua tahun lepas.

Sultan Ahmad Shah yakin skuad Harimau Malaya akan melangkah ke final dengan kemenangan 2-1 pada pertemuan di Bangkok malam esok, sekali gus layak dengan agregat 3-2 mengatasi Gajah Perang.

"Dengan kehadiran penyokong setia Harimau Malaya di Bangkok nanti, kejayaan akan mengiringi skuad negara untuk beraksi di pentas final," titahnya.

Pada pertemuan pertama di gelanggang sendiri Ahad lepas, skuad kebangsaan diikat 1-1 oleh Thailand.

Akhbar pada Rabu melaporkan rasa tidak puas hati pengurus pasukan kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal kerana skuad Harimau Malaya hanya disediakan padang awam untuk berlatih menjelang pertemuan malam Khamis.

Biarpun lokasinya hanya satu kilometer dari hotel penginapan, keadaan padang Jaran Buraprat tidak layak dijadikan padang latihan untuk kejohanan tertinggi di peringkat Asia Tenggara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain