suria

Kejayaan Di Taiwan Pembakar Semangat Syafiq Julang Piala Dunia

SEPANG: Jaguh boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek menyifatkan pencapaian muncul juara Terbuka Taiwan baru-baru ini, menjadi kunci kepada kejayaannya menjulang kejuaraan Piala Dunia QubicaAMF di Wroclaw, Poland dua hari lepas.

Syafiq berkata, selepas memenangi gelaran di Taiwan, beliau begitu bersemangat untuk menampilkan prestasi terbaik pada saingan Piala Dunia tersebut.

"Sebelum Terbuka Taiwan, saya hanya menyasarkan berada dalam kelompok lapan pemain teratas tetapi selepas kejayaan itu (juara Terbuka Taiwan) dan layak ke Piala Dunia, saya menyasarkan untuk muncul tiga pemain terbaik dunia," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin.

Kejayaan pemain tinggi lampai berusia 26 tahun itu menjulang Piala Dunia QubicaAMF melengkapkan koleksi gelaran utama di peringkat antarabangsa untuk Malaysia.

Malaysia pernah mengecapi kejayaan dalam semua saingan peringkat tertinggi termasuk Kejohanan Dunia, namun tidak Piala Dunia, pertandingan individu yang mempunyai sejarah penganjuran sejak 1965, menjadi satu-satunya gelaran tidak terjangkau mana-mana pemain negara sebelum Syafiq menamatkan penantian Malaysia melalui edisi kali ini.

Tiada pemain negara pernah merangkul gelaran berprestij itu dengan Michael Chuah paling hampir melakukannya apabila dia muncul naib juara pada 1983 di Mexico City.

Ini diikuti Shalin Zulkifli, juga berpuas hati di tempat kedua di Belfast, Ireland Utara pada 1996 dan terbaru Zulmazran Zulkifli meraih tempat ketiga pada 2008 di Hermosillo, Mexico.

Mengulas lanjut, Syafiq berkata, keyakinannya bertambah tinggi untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia itu selepas menumbangkan Andres Gomez dari Colombia di separuh akhir 234-236, 224-201, 258-218.

"Selepas mengalahkan Gomez, saya bertambah yakin untuk muncul juara," katanya.

Di peringkat akhir, Syafiq mengalahkan penyandang juara remaja dunia dari Amerika Syarikat, Marshall Kent 236-225, 237-221.

Jurulatih negara, Holloway Cheah berkata, permainan tenang yang ditunjukkan Syafiq memberi kelebihan kepada beliau untuk fokus terhadap aksi di peringkat akhir sekali gus menjulang kejuaraan tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain