suria

Lapan Pasukan Amatur Sertai Kejohanan Kapal Layar Motour Tourism Cup

KUALA TERENGGANU: Seramai lapan pasukan menerusi 40 peserta amatur mewakili pelbagai agensi kerajaan telah mempamerkan skil pelayaran kapal layar pada Kejohanan Motour Tourism Cup di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, di sini, Sabtu.

Setiausaha Bahagian Prasarana Pelancongan, Hussain Moh berkata pihaknya dijangka akan meneruskan penganjuran acara satu hari tersebut menjelang Piala Monsun bulan depan.

Pasukan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) muncul juara keseluruhan dengan mengumpul empat mata penalti, diikuti Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu (PKPLN) dengan tujuh mata penalti.

Manakala Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) meraih tempat ketiga dengan 11 mata penalti daripada perlumbaan tiga pusingan itu.

MOTOUR Tourism Cup ialah acara pelayaran regata dianjurkan oleh PKPLN dengan kerjasama T-Best Events Sdn Bhd iaitu pengurus acara Piala Monsun.

Kejohanan ini merupakan antara acara bagi memeriahkan Piala Monsun yang akan berlangsung pada 3 hingga 8 Disember di tempat yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain