suria

Malaysia Duduki Tempat Keenam Piala Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Malaysia menduduki tempat keenam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di sini Ahad setelah tewas dengan satu-satunya pukulan sudut penalti daripada pasukan New Zealand.

Skuad Projek 2013 itu tewas 1-2 kepada New Zealand apabila Kane Russel menyempurnakan pukulan sudut penalti itu pada masa tambahan selepas kedua-duanya terikat 1-1 sehingga tamatnya masa rasmi 70 minit.

Merumuskan persembahan anak-anak buahnya di sepanjang kejohanan tersebut, jurulatih Muhammad Dhaarma Raj berkata, mereka mengalami kepenatan mental setelah beraksi di beberapa kejohanan sebelum ini.

"Kita boleh lihat mereka gagal melakukan pukulan-pukulan mudah, hantaran pendek dan tidak dapat menyelamatkan pukulan sudut penalti. Faktor kepenatan mental itu bukan suatu alasan bagaimanapun ia perlu diambil kira bagi menganalisa persembahan pasukan," katanya selepas perlawanan tersebut.

Tambahan pula katanya, beliau hanya mempunyai masa selama empat hari bagi membentuk pasukan itu untuk kejohanan tersebut.

Semasa pertemuan dengan New Zealand itu, Malaysia tampil lebih agresif berbanding perlawanan sebelum ini.

Menguasai 60 peratus permainan, Malaysia memperoleh lima pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama bagaimanapun pakar sudut penalti Malaysia Muhammad Noor Faeez Ibrahim gagal membuat sebarang jaringan kerana kecekapan penjaga gol Sam Greaney dan pertahanan New Zealand.

Pasukan New Zealand tidak mendapat sebarang pukulan sudut penalti.

Perlawanan kemudiannya ditunda pada minit ke-28 selama 25 minit kerana hujan lebat dan seterusnya baki separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan dari kedua-dua pasukan.

Malaysia terus menguasai permainan pada separuh masa kedua dan kemudiannya mendapat gol pertamanya menerusi Shazril Irwan Nazli yang menyudahkan pukulan sudut penalti ketujuh pasukannya pada minit ke-48.

Tersentak dengan jaringan itu, New Zeland mengatur rapi serangannya dan akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-58 apabila Jared Panchia menyudahkan hantaran Benedict Van Woerkom.

Kedua pasukan kemudiannya terikat 1-1 sehingga akhir separuh masa kedua dengan New Zeland melancarkan lebih banyak serangan.

Perlawanan kemudian dilanjutkan ke masa tambahan dengan kedua-dua pasukan cuba menguasai permainan.

Namun, anak-anak buah Edwards Grant lebih bernasib baik kerana mendapat pukulan sudut penalti dan menyudahkannya untuk menamatkan perlawanan pada minit ke-72 untuk menduduki tempat kelima. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain