suria

Persatuan Sukan Kebangsaan Perlu Lebih Proaktif - Tunku Imran

KUALA LUMPUR: Persatuan sukan kebangsaan (NSA) digesa supaya lebih proaktif dalam melaksanakan program pembangunan yang komprehensif kepada atlet di peringkat remaja.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata beliau melihat NSA tidak melaksanakan secukupnya dari segi program pembangunan bakat remaja seiring dengan perbelanjaan besar yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan berkenaan.

"Kekurangan pelan tindakan pembangunan yang komprehensif oleh persatuan sukan kebangsaan termasuk sukan yang tersenarai dalam Olimpik, akan menyukarkan usaha mencari bakat berkaliber dan mereka yang mempunyai apa diperlukan untuk menjadi atlet terbaik di peringkat antarabangsa," katanya pada majlis penyampaian peruntukan individu SportExcel di sini, Isnin.

Beliau berkata NSA juga harus mengambil peluang menerusi program '1Murid 1 Sukan' untuk bekerjasama dengan sekolah dan komuniti setempat bagi menggalakkan lagi aktiviti sukan dalam kalangan pelajar.

"Persatuan sukan kebangsaan boleh menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk peringkat remaja supaya bakat muda mempunyai lebih banyak peluang berkembang," kata Tunku Imran.

"Perkenalkan kejohanan-kejohanan di peringkat negeri dan sekolah, tubuhkan kelab dan libatkan sama ibu bapa pelajar yang terlibat," katanya.

Sementara itu, sebanyak 47 atlet berbakat berumur antara 10 dan 22 tahun menerima RM1,000 dan RM1,500 (keseluruhan RM66,500) daripada SportExcel di atas pencapaian cemerlang mereka di peringkat kejohanan remaja.

Mereka termasuk gimnas berirama, Fatin Zakirah Jalany Zain Jalany yang meraih lima pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini, Olahragawan Johor 2010 Muhammad Shahril Sahak daripada sukan menembak dan pemain tenis meningkat naik, Talhah Mohamad Rahizam.

Talhah, 14, berkata peruntukan tersebut dapat membantunya menampung kos membeli peralatan sukan seperti raket dan kasut.

Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David adalah antara atlet yang pernah menerima insentif SportExcel tersebut.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain