suria

Piala Malaysia: Sathia Bukti Sentuhannya Masih Berbisa

Pemain ATM, Marlon Alex James (dua,kiri) melepasi halangan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Marian Farbak (dua,kanan) pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, Selasa. Foto: BERNAMA
Pemain ATM, Marlon Alex James (dua,kiri) melepasi halangan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Marian Farbak (dua,kanan) pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, Selasa. Foto: BERNAMA
Pemain ATM, Marlon Alex James (dua,kiri) melepasi halangan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Marian Farbak (dua,kanan) pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, Selasa. Foto: BERNAMA

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia 2012 dengan penuh bergaya apabila menyingkirkan juara bertahan, Negeri Sembilan 6-3 secara aggregat pada aksi suku akhir.

Anak buah B.Sathianathan menunjukkan kredibiliti mereka selaku antara pencabar utama kejuaraan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk merakamkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan tuan rumah di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, dan kini hanya Lions XII menjadi pemisah antara pentas final yang kali terakhir dijejak pada 1966.

Sathianathan nyata cukup teruja dengan kemenangan ini walaupun pada satu ketika kelebihan 1 gol yang dibawa hasil kemenangan di Selayang pada aksi peringkat pertama bingkas dipadam seawal minit kelima oleh Alif Shamsudin.

"Pemain saya menampilkan aksi cukup berdisplin, berusaha keras dan komited untuk mencatat kemenangan.

"Mereka mempraktikkan dengan baik arahan yang telah diberi. Saya tidak pernah risau sekalipun ketika kami bolos awal, kerana saya tahu pasukan saya boleh menjaringkan gol. Kehebatan barisan depan saya tidak perlu dipertikai," katanya.

Pada aksi suku akhir kedua itu, ATM dikejutkan dengan gol awal Alif yang menolak masuk bola menewaskan Farizal Harun hasil kekalutan di depan gol, namun ATM tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan bekas pertahanan skuad Hoben, Aidil Zafuan Abdul Radzak hasil hantaran Azmi Muslim, 4 minit kemudian.

Anak buah Azraai Khor Abdullah menggandakan asakan dan Emanuel Effa-Owona menyaksikan sepakan percuma melencongnya ditepis keluar Farizal Harun pada minit ke-19, tatkala Negeri Sembilan menyaksikan setiap usaha mereka untuk kembali menyamakan kedudukan secara aggregat menemui kegagalan.

Ghairah menyerang, memberikan lebih banyak ruang bergerak untuk ATM, dan hasil satu serang balas pantas pada minit ke-42, ATM mengukuhkan kedudukan mereka dengan defisit dua gol menerusi jaringan Marlon Alex James yang mendapat hantaran daripada Zaquan Adha.

Marlon menutup terus sisa kebangkitan sang rusa, apabila menyempurnakan hantaran lintang Bruno Sebastian Martelotto pada minit ke-56 untuk keputusan muktamad 3-1, dan 6-3 secara aggregat.

Pada separuh akhir nanti, ATM akan menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar pada 5 Oktober sebelum aksi timbal balik pada 11 Oktober di Stadium Selayang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain