suria

"Saya Tidak Tinggalkan Mesyuarat Agung Begitu Saja" - Shahidan Kassim

KANGAR: Bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan dakwaan kononnya beliau meninggalkan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu Ahad lepas, sebaik sahaja mengetahui gagal mempertahankan jawatannya.

Ketika ditemui pemberita di Yayasan Pok dan Kassim (YPK) di sini, Shahidan berkata beliau menunggu sehingga AGM berakhir dan tidak timbul soal beliau meninggalkan mesyuarat berkenaan sebelum waktunya.

Kata Shahidan lagi, beliau terpaksa pulang sebaik mesyuarat itu selesai kerana mempunyai banyak urusan di Perlis termasuk menghadiri istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran di Istana Arau.

Mengenai dakwaan Presiden KOM yang baharu, Datuk Zainal Abidin Ahmad bahawa tindakan tersebut seperti 'tidak menghormati majlis' kerana pulang awal dan tidak mengumumkan kepimpinan baharu badan induk sukan olahraga itu, Shahidan berkata perkara itu tidak berbangkit.

Katanya, tiada dalam agenda bahawa bekas presiden perlu membuat pengumuman barisan kepimpinan baharu KOM, begitu juga dengan majlis penyerahan tugas bagi jawatan tertinggi badan induk sukan olahraga itu.

Shahidan yang menerajui KOM sejak 2006 gagal mempertahankan jawatannya apabila tewas dua undi setelah memperoleh 21 undi berbanding Zainal Abidin yang juga Pengerusi Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan yang mendapat 23 undi.

Shahidan berkata, beliau menghormati keputusan itu dan akan menyokong setiap tindakan yang dilakukan kepimpinan baharu KOM nanti.

"Kalau bagus tetap saya kata bagus. Kalau ada yang tidak baik, perlu diperbaiki. Jangan belum apa-apa dah kepala angin," katanya.

Mengenai kegagalannya menyerahkan fail tugas kepada kepimpinan baharu KOM, Shahidan berkata beliau tidak dapat melakukannya sebaik mesyuarat itu berakhir kerana tidak menduga akan kalah.

Shahidan, bagaimanapun berkata beliau akan menyerahkan fail tugasan itu secepat mungkin bagi membolehkan pentadbiran badan sukan itu dapat berjalan dengan lancar.

"Kalau nak cepat jangan tunggu saya. Ambil saja (fail) daripada Pemangku Pengurus Besar KOM (Anthony Samy Silvarajoo)," katanya sambil menambah bahawa semasa beliau mula menerajui KOM, tiada majlis penyerahan tugas dilakukan. - BERNAMA

Artikel Lain