suria

Persatuan Pelayaran Malaysia Akan Mohon Tambah Pelayar

LANGKAWI: Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) akan memohon kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menambah bilangan pelayar dalam persiapan menghadapi Sukan Asia dan Sukan SEA tahun depan.

Pengurus Besar MYA Mohd Afendy Abdullah berkata MYA berhasrat menambah bilangan pelayar kepada 20 orang untuk membuat persiapan awal menghadapi kedua-dua temasya itu.

"Pada masa ini hanya 13 pelayar terdiri daripada pelayar elit dan pelapis kebangsaan yang sedang menjalani latihan di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi," katanya.

Beliau berharap MSN dapat memberi kelulusan secepat mungkin bagi memudahkan persiapan awal dijalankan dalam usaha mencatat kejayaan cemerlang.

Mohd Afendy berkata pihaknya menghantar pelayar-pelayar sedia ada menyertai beberapa kejohanan termasuk Terbuka Sabah yang berakhir dua hari lepas dan akan menyertai Terbuka Johor pada awal bulan depan. - BERNAMA

Artikel Lain