suria

Cub Prix: Kecederaan Tak Halang Ramdan Buru Podium

Mohd Ramdan Mohd Rosli
Mohd Ramdan Mohd Rosli
Mohd Ramdan Mohd Rosli

BIARPUN masih bergelut dengan kecederaan, Mohd Ramdan Mohd Rosli tetap berhasrat untuk menamatkan kemarau podium apabila turun beraksi dalam kategori CP130 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kluang, Johor, 22 dan 23 September ini.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu masih belum 100 peratus pulih daripada keretakan pergelangan tangan kiri yang dialami sewaktu menjalani latihan di Litar Albacete, Sepanyol, tiga minggu lalu, namun dia sudah tidak sabar untuk kembali ke gelanggang Cub Prix setelah terlepas aksi Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Jepun, 8 dan 9 September lalu.

“Doktor menasihatkan saya agar tidak menyertai perlumbaan SuperSports 600cc di Jepun bagi memberi ruang untuk proses rawatan dan pemulihan.

"Ia satu keputusan sukar memandangkan sebagai pelumba muda, saya perlu kerap menyertai perlumbaan agar dapat menimba lebih banyak pengalaman dan juga pendedahan.

"Namun, saya perlu mematuhi arahan doktor agar dapat pulih dengan segera dan kembali memacu jentera dalam keadaan fizikal terbaik,” kata pelumba 16 tahun itu.

Mengulas lanjut, Ramdan yang kini berada di tangga ke-10 dalam senarai keseluruhan CP130 berkata; "Pergerakan pergelangan tangan kiri saya masih agak terhad namun jika dibandingkan dengan peringkat awal kecederaan, sakitnya sudah semakin berkurangan malah saya juga berupaya untuk melakukan latihan ringan bagi menguatkan semula tangan dan fizikal saya.

"Walaupun belum cukup cergas, saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran di Kluang.”

Pelumba kelahiran Klang itu berharap agar dapat menamatkan kemarau podium pada musim ini selepas berjaya mempamerkan kebangkitan daripada aksi buruk pada awal musim dengan kejayaan menduduki tempat ketujuh pada perlumbaan Pusingan 6 di Muar, Johor.

“Sewaktu di Muar, pasukan kami telah menunjukkan banyak peningkatan saya berjaya mencatat masa terpantas ketika sesi latihan bebas pertama.

"Malangnya, beberapa masalah lain pula timbul pada sesi kelayakan dan saya terpaksa memulakan perlumbaan akhir dari petak ke-11. Namun, dengan pelarasan baru yang kami gunakan, jentera saya telah menunjukkan peningkatan ketara yang banyak membantu saya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh walaupun terpaksa berhadapan cabaran sengit daripada pelumba-pelumba lain. Pencapaian ini membuktikan kami berada di landasan terbaik untuk membolehkan saya memburu kedudukan podium pada minggu ini,” jelas Ramdan.

Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing menerajui kedudukan keseluruhan CP130 dengan 100 mata sambil Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) mengekori di tangga kedua dengan 82 mata.

Turut memberi saingan sengit ialah Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) di kedudukan ketiga dengan 81 mata.

Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com

Artikel Lain