suria

Kecederaan Bahu Gugat Lee Chan Lakukan Angkatan Terbaik

LONDON: Kecederaan lama di bahu kanan menggugat Siow Lee Chan untuk beraksi cemerlang pada penampilan keempatnya dalam temasya Sukan Paralimpik di sini.

Atlet negara berusia 41 tahun itu sekadar menamatkan saingan di tempat keenam dengan jumlah angkatan 80 kilogram dalam acara powerlifting yang berlangsung di ExCel London.

"Semasa percubaan ketiga (86kg), bahu saya terasa sakit dan saya jadi tidak stabil. Kecewa sangat sebab tidak dapat buat yang terbaik, tetapi saya sudah mencuba sebaik mungkin," katanya.

Atlet yang berasal dari Negeri Sembilan itu pada mulanya enggan ditemu bual kerana kecewa.

Pingat emas acara itu dimenangi peserta Mesir, Fatma Omar dengan angkatan 143 kilogram, sekaligus memperbaiki rekod dunia dan Paralimpik miliknya iaitu 141.5 kilogram yang dicatat di Beijing, China pada 2008.

Pingat perak menjadi milik Lucy Ejike dari Nigeria dengan angkatan 135 kilogram manakala gangsa dimenangi atlet Turki, Ozlem Becerikli, dengan 118 kilogram.

Lee Chan juga berkata beliau masih bersemangat untuk terus mewakili negara jika keadaan fizikalnya mengizinkan.

Bermula dengan temasya di Sydney, Australia pada tahun 2000 dan Beijing, China, lapan tahun kemudian, Lee Chan muncul sebagai atlet powerlifting wanita pertama memenangi pingat di Sukan Paralimpik.

Pada edisi Beijing, Lee Chan memenangi pingat gangsa. -BERNAMA

Artikel Berikut

Arsenal Benam Liverpool 2-0

Artikel Lain