suria

Bola Keranjang Sukan Untuk Semua - Chey

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) akan terus mempergiat usaha menarik lebih ramai pemain bola keranjang dari kalangan bangsa lain dalam sukan itu, yang kini didominasi kaum Cina.

Setiausaha Kehormat MABA, Chey That Woon berkata sukan bola keranjang boleh menjadi medium mengeratkan hubungan semua kaum di negara ini.

Beliau berkata usaha untuk menarik semua kaum terlibat dalam sukan bola keranjang juga selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sukan adalah satu daripada elemen kuat untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira usia atau bangsa.

"Malaysia negara yang berbilang kaum, jadi sukan bola keranjang merupakan sukan untuk semua masyarakat. Bola keranjang bukan sukan untuk bangsa Cina sahaja," katanya.

Katanya usaha mencari bakat baharu khususnya dalam kalangan bangsa Melayu dan India akan dilakukan secara berterusan menerusi program pembangunan MABA.

"Usaha untuk melahirkan pemain bola keranjang berkebolehan perlu bermula dari bangku sekolah kerana bola keranjang adalah sukan yang memerlukan kemahiran dan strategi," katanya sambil menambah melalui pendekatan itu, negara dapat melahirkan pemain bertaraf bintang.- BERNAMA

Artikel Lain