suria

Rajagobal Puas Hati Persembahan Skuad Negara

KUALA LUMPUR: Jurulatih bola sepak negara Datuk K.Rajagobal berpuas hati dengan persembahan skuad bimbingannya walaupun tewas 1-2 kepada kelab liga Perdana England, Arsenal di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam Selasa.

"Kita sepatutnya menang perlawanan itu atau sekurang-kurangnya seri. Bagaimanapun, terutama dalam bulan Ramadan ini, saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan mereka," katanya.

Malaysia mendahului satu gol pada babak pertama melalui jaringan Mohamad Azmi Muslim, namun Arsenal bangkit pada babak kedua untuk menafikan impian Malaysia untuk menang menerusi jaringan Thomas Eisfeld pada minit ke-87 dan Chuks Aneke, tiga minit kemudian.

Bagi satu lagi perlawanan dengan Manchester City yang dijadual Isnin ini di venue yang sama, Rajagobal berkata beliau akan menilai prestasi pemain lain yang ada sebelum memutuskan senarai muktamad pemain yang akan turun menentang juara liga perdana Inggeris itu.

"Saya telah melihat rentak permainan mereka (Manchester City) dalam televisyen dan ketika ini, mereka sangat kuat dan bukan satu perlawanan yang mudah dan saya akan lebih berhati-hati memilih pemain dalam perlawanan yang agak mencabar nanti," katanya.

Sementara itu, pengurus skuad Gunners, Arsene Wenger berkata beliau terpaksa merombak keseluruhan skuadnya pada babak kedua perlawanan bagi menghadapi serangan daripada pasukan tuan rumah.

"Rakan saya (Rajagobal) melakukan kerja yang bagus kerana setiap tahun corak permainan mereka (skuad negara) bertambah pantas dan kuat. Kami perlu bersabar untuk memenangi perlawanan ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain