suria

Impian Cai Lin Beraksi Di Olimpik London Jadi Kenyataan

KUALA LUMPUR: Perasaan atlet renang wanita negara, Khoo Cai Lin bercampur-baur apabila mendapat berita namanya tersenarai untuk ke Sukan Olimpik London yang bermula 27 Julai ini.

Perenang jarak jauh berusia 24 tahun dari Selangor itu berkata, beliau menerima berita berkenaan selepas dihubungi jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham lewat malam Selasa.

"Paul menghubungi saya memberitahu saya bahawa saya akan ke Sukan Olimpik London. Masa itu, saya betul-betul terkejut...rasa gembira pun ada, rasa sedih pun ada.

"Saya tidak fikir akan amat gembira di depan rakan saya yang layak di bawah kategori B. Ia juga keadaan sukar untuk mereka kerana menjalani latihan keras selepas layak mengikut masa di bawah kategori B," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memperbaharui perjanjian penajaan sebagai duta produk kesihatan, Herbalife di sini, Rabu.

Selain Cai Lin, turut memperbaharui perjanjian penajaan sebagai duta Herbalife itu ialah Low Wee Wern (skuasy), pasangan adik-beradik kembar Mohd Zaquan Adha dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (bola sepak) serta Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), yang kini menjalani latihan fasa akhir di Belgium.

Cai Lin sebelum ini kecewa kerana tidak ada seorangpun daripada lima perenang Malaysia (termasuk dirinya) yang akan membawa cabaran Malaysia ke temasya sukan terbesar dunia itu kali ini.

Selain Cai Lin yang melayakkan diri dalam acara 400m dan 800m gaya bebas wanita, turut melayakkan diri dengan melepasi kelayakkan masa kategori B ialah Christina Loh (100m kuak dada wanita), Chui Lai Kwan (50m gaya bebas wanita), Yap See Tuan (200m kuak dada lelaki) dan Kevin Yeap (1,500m gaya bebas lelaki).

"Selepas melihat sendiri senarai awal perenang yang layak ke Sukan Olimpik Sabtu lepas, saya jadi tidak bersemangat untuk turun menjalani latihan seperti biasa.

"Peraturan yang ditetapkan oleh Fina (Persekutuan Renang Antarabangsa) agak mengelirukan untuk Sukan Olimpik kali ini.

"Semasa di Olimpik Beijing 2008, mana-mana perenang yang layak dengan kategori B juga boleh beraksi. Kali ini hanya enam atlet terbaik dari kategori B sahaja untuk setiap jenis acara yang dipertandingkan," katanya.

Bagaimanapun, untuk penampilan keduanya di temasya Sukan Olimpik, Cai Lin hanya akan beraksi dalam acara 800m gaya bebas wanita.

Mengenai persiapan sebelum ke Sukan Olimpik London, Cai Lin berkata beliau akan berehat untuk beberapa hari sebelum meneruskan latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

"Sasaran saya di Sukan Olimpik ini adalah untuk memberikan persembahan yang terbaik dan sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan.

"Kalau boleh, saya tidak mahu jadi begitu gementar. Semasa di Beijing, saya merasa amat gementar sekali kerana beraksi di gelanggang yang menjadi tumpuan ramai, baik penonton mahupun pihak media," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain