suria

Tiket Perlawanan Bola Keranjang PBAA-Westports KL Dragons Laris Dijual

KUALA LUMPUR: Sejumlah 3,000 tiket dijual setakat ini bagi perlawanan bola keranjang persahabatan antara Professional Basketball Alumni Association (PBAA) dari Amerika Syarikat dan sebuah kelab profesional Malaysia, Westports KL Dragons di Stadium Tertutup Malawati di Shah Alam pada 16 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Xballer Sdn Bhd Jack Yoong berkata beliau berharap jumlah tiket yang dijual dapat mencecah 6,000 berdasarkan sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak tempatan.

Syarikat pakaian sukan itu juga adalah penganjur perlawanan berkenaan.

"Kami berharap peminat akan segera mendapatkan tiket mereka, yang sedang laris dijual, bagi membolehkan mereka menonton beberapa legenda National Basketball Association (NBA) beraksi," kata beliau dalam taklimat kepada pemberita mengenai perlawanan itu di sini, Jumaat.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah diumumkan sebagai penaung perlawanan itu yang diiktiraf oleh Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba).

Perlawanan persahabatan itu akan menyaksikan bekas bintang NBA seperti Dennis Rodman, Scottie Pippen, Jason Williams, Mitch Richmond dan Horace Grant bermain menentang pemain yang berpusat di Kuala Lumpur misalnya Loh Shee Fai, Chee Li Wei, Guganeswaran Batumalai, K.Satyaseelan dan John Ng Yeo Seng.

Yoong berkata sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada badan amal seperti Yayasan Buah Pinggang Negara, Majlis Kanser Nasional Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan Hospis Malaysia.

Beliau berkata tiket untuk menyaksikan perlawanan itu masih boleh dibeli melalui www.redtix.airasia.com dan pusat beli-belah terpilih.

Sementara itu, Saifuddin memuji Xballer kerana menganjurkan perlawanan itu yang akan memberi manfaat kepada kalangan peminat bola keranjang selain pertubuhan amal.

"Saya ingin menggesa penaja korporat yang lain agar tampil membantu Maba mempopularkan sukan ini di negara ini," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain