suria

Belanda: Berakhirnya Satu Era Gemilang Generasi Ketiga

TERSINGKIRNYA pasukan Belanda dari kejohanan Euro 2012 menandakan berakhirnya satu era gemilang sebuah pasukan yang berjaya menjadi naib juara Piala Dunia 2010.

Walaupun berjuang habis-habisan untuk memperolehi kemenangan tunggal yang diharap-harapkan (selepas tewas dalam dua perlawanan kumpulan) mereka dapati Cristiano Ronaldo yang sebelum ini dikritik hebat kerana gagal menjaringkan sebarang gol sejak kejohanan Euro 2012 ini bermula, terlalu pantas untuk dikawal.

Ini adalah kekalahan kedua Belanda di tangan Portugal dalam kejohanan Euro. Pada Euro 2004, Belanda turut tewas di tangan Portugal di peringkat separuh akhir.

Kali ini Belanda tewas lebih awal iaitu di peringkat kumpulan - 1-2 di tangan Portugal dan mencatatkan keputusan terburuk dalam sejarah kejohanan besar apabila gagal memenangi walau satu perlawanan pun di peringkat kumpulan.

Mereka telah tewas 0-1 kepada Denmark dan 1-2 di tangan Jerman.

Dan dua tahun selepas menjadi naib juara dunia, generasi pemain yang dianggap sebagai generasi emas ketiga pasukan Belanda akhirnya pulang dengan penuh kekecewaan.

Generasi emas pertama ialah yang diketuai oleh Ruud Krol, Johan Cryuff, Johan Neeskens, Johnny Rep dan Arie Haan pada tahun 1974 yang memperkenalkan apa yang dipanggil 'total football' yang membawa mereka sebagai naib juara Piala Dunia.

Generasi kedua pula adalah generasi yang diketuai oleh Ruud Gullit, Marco van Basten dan Frank Rijkaard yang membawa mereka menjulang Euro 88 dengan penuh bergaya.

Dan generasi ketiga ialah yang diketuai oleh Robin van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder yang membawa mereka ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010.

Dalam perlawanan suku akhir Euro 2012, Portugal akan bertemu dengan juara Kumpulan A, Republik Czech.

Republik Czech menewaskan tuan rumah Poland 1-0 untuk menjuarai kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, apa yang lebih mencuri perhatian media massa ialah prestasi teruk Belanda dikaitkan dengan pertelagahan antara pemain.

Arjen Robben yang ditanya mengenai isu tersebut sekadar berkata apa yang berlaku di belakang tabir biarlah berakhir di situ sahaja.

Tetapi Robben memberi indikasi dengan berkata, oleh kerana pasukan Belanda berakhir dengan prestasi yang begitu buruk adalah lebih baik semua pemain melihat cermin dan tengok diri sendiri dengan baik.

Untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya, pasukan Belanda perlu memenangi perlawanan awal pagi tadi dengan kelebihan dua gol.

Walaupun mereka berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu melalui Rafael Van der Vaart tetapi mereka gagal menghalang kemaraan Nani dan Ronaldo selepas itu.

PORTUGAL: Patricio 7, Pereira 7, Alves 7, Pepe 8, Coentrao 8, Meireles 8 (Custodio 72, 7), Veloso 7, Moutinho 7, Nani 7 (Rolando 87, 6), Postiga 7 (Oliveira 64, 7), Ronaldo 9. Booked: Joao Pereira.

BELANDA: Stekelenburg 7, Willems 7 (Afellay 67, 6), Mathijsen 6, Vlaar 6, Van Der Wiel 6, Van der Vaart 6, Nigel De Jong 6, Sneijder 6, van Persie 5, Robben 5, Huntelaar 5. Booked: Willems, van Persie.

Artikel Berikut

Artikel Lain