suria

Hazwan Hazim Ungguli Pusingan Kelayakan Pertama MMRC

LUMUT: Pasukan Permai Hotel Match Racing yang diketuai Hazwan Hazim Dermawan mengungguli pusingan kelayakan pertama Sirkit Kapal Layar Malaysia (MMRC) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Teluk Muroh , di sini, Jumaat.

Pada perlumbaan tiga hari itu, pasukan Hazwan Hazim, yang merupakan juara MMRC 2009, menewaskan pasukan Setia West Marine, TLDM Match Racing 3 dan TLDM Match Racing 2.

Pusingan kelayakan pertama akan tamat pagi esok manakala kelayakan kedua akan bermula petang esok dan berakhir Ahad ini.

Pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Jeremy Koo pula mengatasi pasukan TLDM Match Racing 2 dan Setia West Marine. Satu lagi pasukan yang mencuri tumpuan pada hari pertama perlumbaan ialah TLDM Match Racing 1 yang diketuai Masyuri Rahmad, yang menewaskan TLDM Match Racing 2 dan Setia West Marine. Seramai 35 pelayar daripada tujuh pasukan mengambil bahagian pada sirkit tersebut bagi mendapatkan tiket 'wildcard' untuk menyertai Piala Monsun 2012 di Terengganu dari 3 hingga 8 Disember.

Sementara itu, Hazwan Hazim berkata pasukannya menghadapi kesukaran di awal perlumbaan terutama akibat kekurangan tiupan angin namun berjaya mengatasinya dengan menewaskan tiga lawan mereka.

"Cabaran sebenar ialah pagi esok apabila menentang pasukan Jeremy Koo dan Masyuri Rahmat. Kami perlu mengutip mata penuh bagi melayakkan diri menyertai Piala Monsun 2012 akhir tahun ini," katanya.

Peringkat kedua MMRC akan diadakan di Pulau Indah, Selangor pada 29 Jun hingga 1 Julai manakala peringkat ketiga dan terakhir di Pulau Duyong, Terengganu dari 10-23 September.

Pasukan yang mengutip keseluruhan mata tertinggi menerusi ketiga-tiga peringkat itu akan dinobatkan sebagai juara dan mewakili Malaysia pada Piala Monsun 2012. -BERNAMA

Artikel Lain