suria

Malaysia Mula Misi Piala Dunia Dengan Belasah Iran 6-1

MELAKA: Malaysia membukai tirai Kejohanan Hoki Piala Remaja Dunia zon Asia dengan langkah kanan apabila membelasah Iran 6-1 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini malam Khamis.

Malaysia mendahului 4-1 pada separuh masa. Kapten Muhammad Noor Faez Ibrahim menjadi wira pasukan negara apabila menjaringkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelima, disusuli jaruingan kedua pada minit ke-15 dan melengkapkan hatrik pada minit ke-38.

Amir Farid Ahmad Fuzi menyumbang dua gol pada minit ke ke-18 dan 61 manakala Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-29. Gol tunggal Iran diperolehi menerusi jaringan padang oleh Hamid Noraniyan pada minit ke-20.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, Korea Selatan turut mencapai kemenangan selesa apabila menundukkan Jepun 4-1 setelah mendahului 2-1 pada separuh masa.

Malaysia, yang menyasarkan tiga tempat terbaik untuk layak ke Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, tahun depan, menguasai perlawanan dengan corak serangan pantas namum penjaga gol Iran, Alireza Chazanisharahi harus dipuji kerana menyelamatkan tidak kurang lima peluang keemasan untuk Malaysia.

Jurulatih negara Dhamaraj Abdullah berkata beliau berpuashati dengan kemenangan itu walaupun pemain kelihatan tertekan kerana berasa gemuruh pada perlawanaan pembukaan.

Katanya beliau berharap anak buahnya akan mengekalkan prestasi terbaik masing-masing apabila menentang Korea Selatan, Sabtu ini.

Dalam pada itu, Korea Selatan membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi You Seungju, diikuti kapten Yang Jihun (minit ke-31), Jeong Young Seok (minit ke-59) dan Seo Inwoo (minit ke-62) manakala jaringan tunggal Jepun oleh Hoshi Suguru pada minit ke-27.

Pada pada perlawanan kumpulan B esok, Pakistan akan menentang China pada pukul 6 petang, diikuti pertemuan antara juara bertahan India dengan Sri Lanka pada pukul 8 malam.

Lapan pasukan mengambil bahagian pada kejohanan ini yang berlangsung sehingga 13 Mei.

Pusingan kelayakan zon Asia di sini menawarkan empat tempat ke Piala Dunia Remaja 2013 dengan India, selaku tuan rumah, layak secara automatik manakala tiga lagi tempat menjadi buruan di sini. - BERNAMA

Artikel Lain