suria

Nicol, Nafiizwan, Beng Hee Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David memulakan langkah untuk memburu gelaran juara kali kelapan Kejohanan Skuasy Terbuka KL Nicol David CIMB dengan mengalahkan Donna Urquhart dari Australia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini, malam Rabu.

Selain Nicol, pemain Malaysia yang berjaya melangkah ke pusingan akhir ialah Mohd Nafiizwan Adnan dan Ong Beng Hee.

Pada perlawanan pusingan pertama, Nicol hanya mengambil masa 35 minit untuk menyingkirkan lawannya dengan mata 11- 5, 11-5 dan 11-6.

"Saya gembira menang 3-0 hari ini walaupun melakukan kesilapan ketika cuba melakukan beberapa perkara dan untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang.

"Mungkin Donna (Urquhart) letih setelah bermain pada pusingan kelayakan dan saya mendapat kelebihan daripada itu. Dia membuat asakan dan berjaya membalas beberapa pukulan saya. Ralinya juga sungguh sengit," kata Nicol.

Nicol akan berdepan dengan Dipika Pallikal dari India, yang mengalahkan pemain pilihan kelapan Kasey Brown dari Australia pada perlawanan suku akhir , Khamis.

Nicol, 28, yang berasal dari Pulau Pinang, menjuarai kejohanan ini pada 2000, 2002, 2005, 2007, 2008, 2010 dan 2011.

Sementara itu, Low Wee Wern tersingkir daripada kejohanan apabila dikalahkan pemain pilihan kelima Raneem El Weleily dari Mesir dengan mata 9-11, 6-11 dan 5-11 dalam pertarungan yang berlangsung selama 30 minit.

Dalam kategori lelaki, Mohd Nafiizwan mengetepikan pemain lebih senior daripadanya Mohd Azlan untuk layak ke suku akhir.

Mohd Nafiizwan terpaksa berhempas-pulas selama 66 minit sebelum mengalahkan Mohd Azlan, yang merupakan pemain pilihan kedua kejohanan ini dengan mata 8-11, 11-7, 7-11, 11-3 dan 11-2.

"Ia satu permulaan yang bagus buat saya hari ini. Bila saya masuk ke gelanggang, saya yakin yang saya boleh memenanginya. Kami berlatih bawah jurulatih yang sama (Peter Genever). Saya rasa corak permainan saya kini lebih matang," katanya.

Mohd Nafiizwan berkata perlawanan suku akhir menentang pemain nombor dua Malaysia Beng Hee pada Khamis akan merupakan satu lagi pertemuan yang amat mencabar baginya.

"Sukar untuk menjangka apabila bermain menentang Beng Hee. Saya harap dapat mengumpul semula kekuatan malam ini," kata Mohd Nafiizwan.

Sementara itu, Ong Beng Hee melayakkan diri ke perlawanan suku akhir apabila lawannya Matthew Karwalski dari Australia tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan hamstring.

Ketika itu, Beng Hee mendahulu kedudukan dengan 11-8.

Bagaimanapun, peserta 'wildcard' dari Malaysia Ivan Yuen tidak bernasib baik apabila kalah kepada pemain pilihan ketiga Adrian Grant dari England, 6-11, 11-3, 11-8, 11-8 dalam perlawanan selama 73 minit. - BERNAMA

Artikel Lain