suria

Malaysia Tigers Tewas Kepada Indonesia Rajawali

KUALA LUMPUR: Malaysia Tigers tewas kepada pasukan pelapis Indonesia, Indonesia Rajawali 1-2 pada pusingan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Axiata di Stadium Badminton Cheras di sini, Ahad.

Muhammad Hafiz Hashim yang memulakan cabaran negara kecundang di tangan perseorangan pertama Indonesia Hayom Rumbaka 21-16, 18-21, 10-21.

Beregu negara Koo Kean Kiet/Tan Boon Heong pula berhadapan tentangan sengit Angga Pratama/ Rian Agung Saputro yang mengalahkan mereka 10-21, 21-18, 21-13.

Perseorangan kedua negara Liew Daren meraih mata tunggal negara dengan menumpaskan Shesar Hiren Rhustavito 21-19, 21-13.

Kemenangan Indonesia Rajawali menobatkan skuad itu sebagai johan kumpulan K manakala Malaysia Tigers sekadar muncul naib johan.

Sementara itu, pada perlawanan di Arena Tertutup Senayan, Jakarta, pasukan Indonesia Garuda turut mengungguli peringkat kumpulan J setelah menundukkan Malaysia Leopards 3-0.

Malaysia Tigers dijadualkan bertemu Indonesia Garuda sementara Malaysia Leopards bakal menentang Indonesia Rajawali pada peringkat separuh akhir yang bermula Jumaat ini di Kuala Lumpur dan Jakarta.-BERNAMA

Artikel Lain