suria

Mat Zan Terkilan Terengganu Raih Seri Dengan Kedah

KUALA TERENGGANU: Jurulatih Terengganu Mat Zan Mat Aris merasa kecewa dengan keputusan kurang memuaskan Terengganu apabila sekadar seri 1-1 dengan Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam Rabu.

Beliau berkata keputusan tersebut sepatutnya boleh diatasi sekiranya para pemain Terengganu tidak lalai setelah mengatasi 1-0 pada babak pertama.

Beliau berkata pemain Terengganu banyak mengikut rentak permainan perlahan pasukan Kedah membuatkan semua percaturan yang dirancang tidak menjadi.

"Saya terkilan kehilangan dua mata menyebabkan peluang Terengganu untuk membaiki kedudukan tidak kesampaian," katanya kepada pemberita.

Pengurus pasukan, Che Mat Jusoh pula berkata Terengganu tidak pernah menang apabila menentang Kedah dalam Liga Super sejak tiga tahun lalu.

Baginya keputusan seri dengan Kedah malam tadi sudah memadai.

Beliau berkata Kedah bermain baik terutamanya pada babak kedua menyebabkan mereka memperoleh gol penyamaan.

Katanya beliau tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan Terengganu walaupun kadang-kadang berlaku salah faham semasa mereka di tengah padang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain