suria

Hafiz Tewaskan Chong Wei Pada Ujian Simulasi Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Bekas Juara All England Muhammad Hafiz Hashim pada Rabu menumpaskan pemain nombor 1 Dunia Datuk Lee Chong Wei pada perlawanan ujian simulasi yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.

Perlawanan simulasi ini diadakan sebagai pendedahan perlawanan sebenar kepada skuad Thomas-Uber dan persediaan akhir bagi menghadapi perlawanan yang akan berlangsung di Macau dari 14 hingga 19 Feb ini.

Hafiz menunjukkan aksi cemerlang dengan menundukkan Chong Wei dengan mata 21-10 dan 23-21.

"Saya tak sasar menang, hari ini (Rabu) pun Chong Wei tidak memberikan permainannya sebenar. Saya percaya kalau main double set beregu saya rasa dia boleh menang.

"Bagi saya simulasi amat bagus untuk kami dan perlawanan ini memang tepat pada waktunya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini, Rabu.

Hafiz berkata beliau sudah melengkapkan diri daripada persediaan mental dan akan mempertingkatkan lagi stamina fizikalnya untuk menghadapi perlawanan yang akan diadakan di Macau nanti.

Hafiz berkata beliau optimis bagi mencari satu mata untuk skuad Thomas dan tidak menafikan berdepan dengan Korea Selatan nanti adalah satu cabaran besar yang perlu digalas.

"Peranan saya adalah main dengan baik dan hanya memikirkan kemenangan untuk skuad," katanya.

Sementara itu Ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Hafiz hari ini dan berharap misi untuk mendapatkan mata bagi skuad Thomas tercapai.

"Sedikit sebanyak ada perkembangan, terutama sekali pada Hafiz yang nampak hari ini main ada keyakinan dan Chong Wei hari ini main bukan tahap dia yang sebenar tetapi daripada segi perkembangan positif kita lihat pada Hafiz.

"Selain daripada itu Liew Daren dan Mohd Arif Latif nampak lebih kurang sama tahap. Kita positif untuk layak ke pusingan akhir, pemain-pemain semua nampak memang bersedia untuk menghadapi kejohanan itu nanti," katanya.

Rashid berkata beliau tidak menafikan untuk mendapatkan tiga mata dengan mempetaruhkan tiga pemain perseorangan skuad Thomas adalah sukar bagaimanapun beliau yakin anak buahnya akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti.

"Kita tetap sasarkan pada Chong Wei, Hafiz dan yang ketiga kita belum letakkan pada siapa iaitu antara Daren dan Arif," katannya.

Berikut keputusan penuh perlawanan Simulasi Badminton bagi Piala Thomas dan Uber malam Rabu:

SKUAD THOMAS

Peseorangan Lelaki:

Muhammad Hafiz Hashim mn Datuk Lee Chong Wei (21-10, 23-21)

Liew Daren mn Mohd Arif Latif (23-21, 17-21, 21-13)

Beregu Lelaki

Koo Kien Kiat/ Tan Boon Heong mn Goh V Shem/Teo Kok Siang (21-16, 21-12)

Hoon Thien How/Lim Khim Wah mn Tan Wee Kiong/Mak Hee Chun (21-14, 27-25)

SKUAD UBER

Peseorangan Wanita:

Kuan Kam Chung mn Tee Jing Yi (21-13, 21-15)

Teo Gee Chong mn Lydia Cheah (21-19, 21-15)

Beregu Wanita

Wong Fan Yin/Tan Aik Quan mn Wong Pei Tty/Chin Ee Hu (21-9, 21-15)

Lim Yin Loo/Goh Liu Ying mn Vivian Hoo/Lai Pei Jong (16-21, 21-10, 22-20)

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain