suria

Kedah Akan Cari Pemain Import Untuk Perkuat Pasukan

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mencari pemain import bagi memperkuatkan pasukan dan menggantikan dua pemain importnya dari Brazil, Daniel Soares Neves dan Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo yang telah digugurkan.

Azizan selaku Presiden KFA sehubungan itu meminta para penyokong bersabar dan memberi masa kepada persatuan untuk memulihkan kembali prestasi pasukan yang kini berada pada tahap amat mengecewakan.

Katanya penggantungan Ketua Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan untuk tujuh perlawanan serta Penolong Jurulatih Radhi Mat Din dan Jurulatih Penjaga Gol Ahmad Sobri Ismail, masing-masing empat perlawanan, telah menjejaskan prestasi pemain.

Katanya kini kedua-dua penolong jurulatih sudah menamatkan tempoh penggantungan dan sudah kembali bersama pasukan.

"Dengan tempoh penggantungan mereka berakhir, ini akan dapat membantu mengatasi masalah pasukan sekarang. Harap penyokong bersabar, masa masih panjang lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Dalam saingan Liga Super musim ini, Kedah gagal mencapai sebarang kemenangan dalam lima perlawanan dan hanya mampu meraih dua mata hasil dua keputusan seri dan tewas tiga lagi perlawanan termasuk dua di tempat sendiri.

Memburukkan lagi keadaan, pasukan itu gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan dan gol tunggal hanya diperolehi ketika tunduk kepada Johor FC 1-3 di Stadium Darul Aman di sini malam Sabtu lepas.

Berikutan prestasi hambar itu, jurulatih sementara Kedah Mohd Nidzam Adzha, yang sebelum ini merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Kedah, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta selepas perlawanan Sabtu lalu dan tempatnya akan diambil oleh Radhi.

Mengenai desakan penyokong pasukan supaya pengurus pasukan Datuk Khazali Din meletakkan jawatan, Azizan berkata beliau berpuas hati dengan Khazali dan masih memerlukan khidmatnya.

"Dia bersungguh-sungguh untuk pasukan tetapi pemain tidak menunjukkan prestasi yang baik...apa boleh buat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain