suria

Doping: Rujuk Ke ISN Jika Terdapat Sebarang Keraguan

KUALA LUMPUR: Atlet negara diminta lebih bijak dan bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri dalam pengambilan dan penggunaan sesuatu ubat atau makanan tambahan semasa atau di luar waktu latihan bagi mengelak penggunaan bahan terlarang. Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, persatuan sukan dan atlet telah berulang kali diingatkan agar berhati-hati mengambil ubat-ubatan atau makanan tambahan dan jika terdapat bahan yang meragukan, mereka perlu merujuknya kepada Institut Sukan Negara (ISN).

"Mereka perlu bijak, sekiranya jurulatih atau sesiapa sahaja yang memaksa mereka menggunakan bahan yang meragukan sepanjang latihan di dalam atau pun di luar negara, mereka wajar menolaknya.

"Kita tidak mahu kejadian yang menimpa atlet negara di Sukan SEA Indonesia pada tahun lalu berulang sekiranya atlet tidak memaklumkan MSN dan ISN bahan yang diambil," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Sebelum ini, terdapat atlet negara yang didapati positif ujian anti-doping selepas mengambil makanan dan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh jurulatih mereka.

Dua atlet negara yang meraih pingat pada acara sukan olahraga dan angkat berat, didapati positif ujian dalam anti-doping sampel A oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia pada 21 Disember tahun lepas.

Zolkples berkata, MSN tidak mampu menolong atlet yang didapati terlibat dengan pengambilan bahan terlarang sekiranya mereka sendiri tidak mahu menolong diri sendiri.

"Nombor telefon saya bukan lagi rahsia untuk atlet negara, mereka sendiri boleh hubungi jika mereka rasa ada menggunakan bahan yang meragukan tanpa pengetahuan ISN," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain